Saturday, July 21, 2012

Ahlan Ya Ramadhan!



"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa
Al-Baqarah - 183

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah). Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka) maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
Al-Baqarah - 185

Ramadhan sekali lagi menjenguk kita. Alhamdulillah! Segala puji dan syukur bagi Allah SWT kerana sekali lagi kita diberi peluang untuk menyambut Ramadhan Al Mubarak pada tahun ini. Rebut dan manfaatkanlah peluang yang diberi ini dengan sebaiknya. Semoga kita semua mendapat kebaikan dan maghfirat Allah SWT di bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

Apa Khabar Skuad? mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada semua rakan skuad dan para pengunjung blog ini.

Wednesday, March 21, 2012

Kpl 124425 Maizatul Akman Bin Ahmad

Di saat warga PDRM akan menyambut Peringatan Hari Polis ke-205 tak beberapa hari sahaja lagi, rakan skuad digemparkan dengan berita kembalinya ke Rahmatullah seorang lagi teman skuad kita iaitu Kpl 124425 Maizatul Akman Bin Ahmad. Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu pada petang tadi jam 1600 hrs.


Terakhir, Allahyarham bertugas di Cawangan MPV di Balai Polis Kempas, IPD Johor Bahru Utara dan sebelum itu pernah bertugas di Batalion 16 PPH Kota Kinabalu, IP Briged Sabah PGA dan Balai Polis Segamat.


Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Puan Morniati Bt. Sabki dan 3 orang cahayamata (2 perempuan dan 1 lelaki) berusia 13, 11 dan 6 tahun. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit 7, Sungai Sumun, Bagan Datoh, Perak Darul Ridzuan.


Bagi pihak semua rakan skuad, Apa Khabar Skuad? merakamkan ucapan takziah kepada Puan Morniati dan seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat terhadap roh Allahyarham dan di tempatkan bersama golongan para anbiya dan solehin.


Al-Fatihah.

Friday, March 16, 2012

L/Kpl 124456 Mohd Rawi Bin Mat Rasdi

Ini le gambor terbaru teman bersama keluarga teman…..


Assalamualaikum Skuad 1/90! Bila saja teman menengok cerita rakan-rakan skuad dalam skuadkita teringin juga teman untuk join sekali… boleh ke?…nak le tumpang juga.


Seperti mana teman-teman skuad lain, teman menyertai PDRM dengan melapor diri di Pusat Latihan Polis Ayer Hitam (PULAPAH), Bahau, Negeri Sembilan pada 7 Januari 1990. Sejurus melapor diri, teman dapat nombor badan RF 124456 dan dimasukkan ke Pelatun 23, Kompeni F. Kenangan yang teman tak dapat lupa masa kat PULAPAH ialah bila teman kena ‘dera’ makan cili api kat tengah padang kawad dengan jurulatih kawat, Encik Ahmad Murad pasal dia kata suara teman tak kuat dan silap bagi kata perintah. Sengsara teman weh...


Setelah menamatkan Kursus Asas Konstabel di PULAPAH, teman kemudiannya mengikuti pula Kursus Asas Pasukan Polis Hutan (KAPPH) di Ulu Kinta, Perak dan Tupah, Sg. Petani di mana teman telah dimasukkan ke Platun 20 di bawah kawalan Juru Latih Insp Abdul Hadi dan Sjn Bakar bin Sadin. Masa training kat Tupah ni, teman kena ‘dera’ juga... kali ni teman kena rendam dalam sungai pasai teman tertidor masa buat serang hendap musuh dan senjata teman kena rampas dengan anggota DEMO. Sesekali ingat balik cerita dulu-dulu memang tergelak besor teman apatah lagi bila bercerita bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain.. hehehe..


Sejurus tamat KAPPH, teman diarah untuk melapor diri dan seterusnya bertugas di Platun 12, Kompeni C BN 16 PPH Kepayan, Kota Kinabalu. Apabila Kompeni C, BN 16 PPH berpindah ke Daerah Kudat, teman dan rakan-rakan yang lain pun ikut juga.


Dengan izin Allah SWT, di negeri di bawah bayu ini teman telah bertemu dengan bakal isteri teman yang berasal dari Sandakan, Sabah. Teman juga dikurniakan dengan 2 orang anak perempuan yang kini berusia 17 tahun dan 13 tahun.


Selama beberapa tahun di Sabah sempat le teman melaksanakan tugas dan tanggungjawab teman menabur bakti kepada pertiwi mengawasi perbatasan negara selama beberapa tahun sehingga tahun 2001 apabila permohonan teman untuk bertukar ke wilayah asal diluluskan. Teman kemudiannya diarah untuk melapor diri dan bertugas di IPD Gombak dalam Cawangan Tugas Am.


Pada bulan 8 tahun yang sama, teman telah mengambil keputusan untuk meletak jawatan dalam PDRM atas pilihan sendiri. Masa tu teman tengah bertugas di Balai Polis Selayang. Selepas meletak jawatan, teman kembali ke kampung halaman teman di Kg. Palong, Parit, Perak. Bagi menampung keperluan kewangan semasa pada masa itu, teman bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Ipoh. Dalam masa sama teman mengusahakan sawah dan kebun kelapa sawit teman. Oleh sebab sukar untuk memberi tumpuan terhadap sawah dan kebun teman, teman mengambil keputusan untuk berhenti kerja di LHDN. Jadi bermula la episod baru dalam hidup teman. Sekarang teman memegang title petani sepenuh masa. Kalau dulu teman memikul M-16, sekarang teman memikul pam racun pulak. Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan bukan sahaja lebih dari mencukupi untuk teman menyara keluarga malah boleh le juga teman untuk membuat perancangan pelaburan selain simpanan di masa tua.


Di kesempatan ini, teman ingin mengucapkan tahniah le kepada ruangan Apa Khabar Skuad? kerana dengan adanya ruangan sebegini, dapat le mengeratkan hubungan persahabatan di antara rakan-rakan skuad 1/90 yang telah terjalin sejak 22 tahun ini. Tahniah dan semoga niat yang murni ini dirahmati oleh Allah S.W.T, amin……….. Kepada rakan-rakan yang berhajat nak menghubungi teman sila le emel teman di m.rawi12@yahoo.com.


Monday, January 23, 2012

Selamat Tahun Baru Cina


Kepada semua rakan skuad yang akan menyambut Tahun Baru Cina, Apa Khabar Skuad? ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada anda semua. Semoga Tahun Naga ini akan membawa sinar harapan, kebahagiaan, kemakmuran dan dikurniakan dengan kesihatan yang baik kepada anda dan keluarga.


Apa Khabar Skuad? juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakan-rakan skuad dan pengunjung blog ini yang mengambil peluang semasa cuti ini untuk balik ke kampung halaman masing-masing agar sentiasa berhati-hati semasa memandu. Ingatlah pepatah - Biar lambat asalkan selamat! Semoga rakan semua selamat sampai ke destinasi yang dituju. Selamat bercuti dan selamat kembali bertugas.


Gong Xi Fa Chai!

Saturday, January 7, 2012

Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-22 Skuad 1/90


Hari keramat ini bertandang kembali.


Pada hari ini, 22 tahun yang lalu kita semua rakan skuad 1/90 mula menjejakkan kaki dalam perkhidmatan PDRM. Sempena tarikh keramat ini, Apa Khabar Skuad? mendoakan agar semua rakan skuad sukses dalam kerjaya dan sentiasa berbahagia bersama keluarga yang tercinta.


Sebagai sebahagian otai-otai dalam PDRM, setiap hari yang mendatang ini kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kerjaya dan ekspektasi masyarakat. Dengan adanya pelbagai program-program baru yang dilancarkan sama ada oleh kerajaan mahupun oleh PDRM sendiri, kita tidak ada pilihan lain selain bergerak seiring dengan keadaan semasa walaupun nilai supercop yang hendak dicapai itu semakin lama semakin menyesakkan dada.


Pun begitu kita tidak perlu gentar. Setiap amalan ataupun pekerjaan dimulai dengan niat. Justeru, jika diniatkan amalan ataupun pekerjaan kita hanya kerana Allah SWT maka ianya akan menjadi ibadat dan tentunya akan mendapat keredaanNya.


Selamat maju jaya dan selamat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, komited dan ikhlas.


Sunday, January 1, 2012

Selamat Tahun Baru 2012


Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pengunjung blog Apa Khabar Skuad? Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua rakan-rakan skuad dan para pengunjung yang masih lagi maintain bersama-sama ruangan ini. Berkat kesabaran dan usaha kita semua, blog ini masih mampu lagi untuk mewakili kita, rakan skuad semua!


Di kesempatan ini juga, saya selaku admin serta semua rakan moderator ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2012! Semoga kita semua diberkati Allah dan sentiasa berada dalam perlindungannya hendakNya.


Sepanjang tahun 2011, pelbagai peristiwa telah berlaku melibatkan rakan-rakan skuad 1/90. Beberapa orang rakan kita telah kembali ke hadrat Illahi. Ada juga yang ditimpa musibah dan menghadapi dugaan tuhan yang hebat antaranya rakan skuad kita Kpl 124118 Azlan Bin Sihat yang mengalami kebakaran rumah sehingga tinggal sehelai sepinggang dan tak kurang juga yang menerima anugerah dengan mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya. Semoga kita tabah dan sentiasa bermuhasabah diri. Syukuri segala nikmat tuhan walau sebesar zarah sekalipun.


Sebelum mengakhiri coretan, sekali lagi terima kasih saya ucapkan atas sokongan anda semua... Kepada rakan-rakan skuad yang belum tersiar di ruangan blog ini, harap jangan marah, bukannya saya lupa atau sengaja... tidak, cuma kesibukan tugas dan komitmen lain mengatasi segalanya. Kita hanya merancang, Tuhan menentukan... Untuk tahun 2012 ini, walaupun sibuk saya tetap akan cuba mencari ruang untuk rakan-rakan skuad semua...


‘SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2012”


p.s –Skuad, tanpa anda siapalah saya....