Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Powered by Blogger

Saturday, December 26, 2009

Kpl 124367 Mohd Dros Bin Wahari

Teman skuad kita dilahirkan pada 14/04/1968 di Muar, Johor Darul Takzim. Anak ke 8 dari 12 orang adik beradik ini mendapat pendidikan di Sek. Men. Tun Perak, Muar sebelum melanjutkan pendidikan di Sek Men. Teknik Sg. Abang, Muar. Mewarisi darah keperwiraan ayahandanya yang merupakan bekas seorang SC semasa darurat ini, menyertai PDRM dengan menganggotai Platun 20, Kompeni 'E', Pusat Latihan Polis Ayer Hitam, Negeri Sembilan Darul Khusus. Selesai menjalani Kursus Asas Konstabel, skuad mengikuti pula Kursus Asas PPH di Sekolah Latihan PPH, Ulu Kinta, Perak Darul Ridzuan.

Sejurus tamat Kursus Asas PPH, skuad telah ditugaskan di Semporna, Sabah di mana skuad telah melapor diri di Platun 4, KOMBAS Semporna pada 19/11/1990. Pada 01/01/1991, skuad telah ditugaskan pula ke Platun 19, Kompeni 'E', Bn. 16 PPH Kota Kinabalu dan pada 01/09/1991, skuad telah ditugaskan pula sebagai Jurugegas di Cawangan Pengangkutan, Bn. 16 PPH Kota Kinabalu. Dengan penubuhan Briged Sabah PPH pada 1992, skuad telah ditugaskan ke Ibu Pejabat Briged Sabah PPH sebagai Jurugegas di Cawangan Pengangkutan.

Skuad mendapat kemajuan pangkat L/Kpl pada 1994 dan kenaikkan ke pangkat Koperal pada tahun 2006. Perjawatan skuad kini adalah sebagai Koperal Pengangkutan (Tek) 1 dan merupakan Penolong Ketua Bengkel Pengangkutan, IP Briged Sabah PGA Kota Kinabalu.

Skuad mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya iaitu Cik Junainah Bt. Kadir yang turut berasal dari daerah yang sama dengan skuad pada tahun 1989. Isteri skuad merupakan seorang suri rumah. Hasil perkongsian hidup mereka berdua telah dikurniakan Tuhan dengan 5 orang cahaya mata iaitu 4 orang anak perempuan dan 1 orang anak lelaki. Anak-anak skuad berusia 19, 18, 16, 12 dan yang bungsu kini berusia 9 tahun.

Skuad meminati sukan bermotor dan merupakan Penolong Setiausaha bagi Kelab Sukan Bermotor Dan Kembara Negeri Sabah. Selain menyumbang kepada masyarakat melalui kerjaya sebagai seorang anggota pasukan keselamatan, skuad turut memberi sumbangan menerusi kelab yang disertainya. Pada bulan April 2009 yang lalu skuad menyertai road show Langkah Pencegahan Jenayah Kepada Remaja dalam Ekspedisi Generasi Bebas Jenayah Peringkat Negeri Sabah.

Skuad pernah mengikuti kursus 'Marshall' dan ditauliahkan dengan sijil Marshall oleh Motorsports Association Of Malaysia. Skuad turut terlibat sebagai 'Marshall' bagi Kejohanan Petronas Sprinta Cubprix selama 3 tahun berturut-turut mulai tahun 2006 hingga 2008 dan Marshall bagi Kejohanan Mini Bike Peringkat Negeri Sabah anjuran Kelab Sukan Bermotor Dan Kembara Negeri Sabah pada bulan Februari 2009.

Skuad kini merupakan Jurulatih bagi aktiviti Go-Kart Remaja Daerah Putatan yang dikendalikan oleh Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sabah.

Apa Khabar Skuad? mengucapkan selamat maju jaya, syabas dan terima kasih atas kerjasama yang telah skuad berikan kepada Blog Skuad 1/90 ini. Tq skuad!


berehat selepas latihan kawad bersama teman-teman platun 20...

acara yang disukai ramai... kilat kasut!

melepak bersama 'cewek' yang tercinta... M-16 A1

jatuh pokok mangga belakang kompeni.... hehehe... acah jer tu.... skuad 'eksiden' depan klinik lepas Kawad Komandan...

bergambor semasa waktu senggang latihan PORU.... time PPH lagi ni....

Friday, December 25, 2009

Selamat Menyambut Hari Krismas

Masyarakat majmuk yang terdapat di Malaysia menjadikan kebudayaan negara ini lebih berwarna-warni. Penduduknya yang berbilang kaum menyambut pelbagai perayaan sepanjang tahun. Di negara ini, musim perayaan adalah masa untuk bergembira dan menjalin persahabatan serta muhibah antara kaum. Setiap kali perayaan, semua rakyat tanpa mengira keturunan, turut serta memeriahkan suasana dengan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Acara 'rumah terbuka' adalah satu suasana yang tidak asing lagi di hari-hari perayaan di Malaysia.


Hari ini semua penganut ugama Kristian di seluruh dunia menyambut perayaan Hari Krismas dan sambutan serupa disambut oleh penganut-penganut agama Kristian di Malaysia. Tak ketinggalan teman-teman skuad yang berugama Kristian. Kepada teman-teman skuad yang berugama Kristian, Apa Khabar Skuad? mengucapkan Merry Christmas!.


Selamat menyambut Hari Krismas juga ditujukan kepada Justin Kindamas, Masiun Kibing, Jim Aman, Petrus Surumpit, Eric Roger, Justin Mison, Edward Dahangad, Barry (sekadar menyebut beberapa nama) dan semua teman skuad yang berugama Kristian...


p.s - Ho! Ho! Ho! Merry Chrismas!






Wednesday, December 23, 2009

T-Shirt Reunion Skuad 1/90


contoh T-Shirt Skuad 1/90... digayakan oleh hero filem Tamil...

Allo, allo skuad... T-Shirt Reunion Skuad 1/90 kini ada di pasaran! Kepada yang berminat, sila buat tempahan segera kepada Sjn Ramli Bin Che Ros di Cawangan Tatatertib Briged Sabah PGA. Hubungi No. HP 013-5454303. Harga RM 30.00 sehelai.

Kepada yang telah membayar untuk turut serta Reunion Skuad 1/90 di Airport View Hotel, sila hubungi Sjn Ramli untuk dapatkan 'sizing' yang bersesuaian dengan anda... Tak payah nak bayar lagi sebab bayaran harga baju dah masuk dah dalam pembayaran anda tu... Harap maklum!

p.s - beli jangan tak beli! Takder der jual kat Mydin ka Lowyat ka maner!

Tuesday, December 22, 2009

Makluman / Tindakan


Majlis Reunion Skuad 1/90

Allo skuad! Untuk makluman semua, Majlis Reunion Skuad 1/90 yang dijadualkan diadakan di Borneo Paradise Hotel Resort, Kinarut telahpun dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Sebagai gantinya, Reunion Skuad 1/90 akan diadakan di venue dan tarikh baru seperti berikut:-

Tempat : Airport View Hotel
Tarikh : 23/01/2010 ( Sabtu)
Masa : 2000 hrs
Pakaian : Batik / Casual Smart
Bayaran : RM 110.00 per pax (tanpa pasangan) *

Bayaran dan Pengesahan Kehadiran boleh dibuat mulai sekarang melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1212829835547985 atas nama Muhammad Rizal Bin Kamarolzaman. SMS kepada 019-5703827 untuk pengesahan dan makluman.

Untuk makluman semua juga, Majlis Tahlil sempena 20 tahun Skuad 1/90 bagaimanapun akan terus dilaksanakan pada tarikh, masa dan tempat sepertimana yang dirancangkan. Semua teman skuad dijemput hadir sama mengimarahkan majlis tersebut. Jangan lupa pakai Baju Melayu dan bersampin!

* bayaran termasuk makan malam di Airport View Hotel, T-Shirt Reunion, Majlis Tahlil dan Yuran Skuad 1/90.

p.s - untuk makluman /tindakan teman skuad semua!

Wednesday, December 16, 2009

Maal Hijrah 1431

Hijrah dalam pengertian etimologis bererti “pindah ke satu tempat atau negeri yang lain dari negeri asal,” iaitu berpindah tempat atau negeri kerana sesuatu sebab yang tertentu.


Hijrah yang sering dimaksudkan ketika umat Islam membicarakan hijrah dalam konteks tahun baru Hijrah ialah peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari Makkah ke Madinah. Tarikh berlakunya Hijrah Nabi Muhammad SAW ini merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam, kerana mulai dari peristiwa ini, Islam telah melangkah lebih jauh dalam sejarah perkembangannya, dan mulai memasuki satu tahap baru dalam perjuangan baginda sendiri.


Menurut sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW memulakan perjalanan dalam hijrah baginda pada malam Khamis (16 Jun 622 M) dan sampai di Madinah sebelum waktu Zohor, hari Isnin (28 Jun 622 M).


Dalam konteks yang lebih umum, selain daripada makna khusus seperti yang disebutkan di atas,hijrah mengandungi dua pengertian, iaitu :


1. Hijrah yang berkaitan dengan aktiviti fizikal atau jasad, iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, dan hal ini dapat disebut sebagai hijrah lahiriyah.


2. Hijrah dalam pengertian berpindah daripada sesuatu yang dilarang Allah SWT kepada sesuatu yang dibenarkan-Nya, dan hal ini dapat disebutkan sebagai hijrah maknawiah, iaitu penghijrahan jiwa, sikap dan rohani.


Umat Islam sering mengambil iktibar tentang pengertian umum ini ketika membicarakan tentang hijrah pada masa kini. Pengajaran yang seharusnya diambil daripada falsafah hijrah ini ialah penghijrahan sikap, iman, akhlak dan sebagainya yang dapat mengubah individu daripada keadaan yang lemah kepada keadaan yang lebih kuat, daripada amalan mungkar kepada amalan makruf, daripada ketinggalan dalam segala pembangunan ilmu, ekonomi, maruah dan sebagainya, menjadi insan yang berketerampilan, berilmu, maju dalam bidang ekonomi, teknologi dan tinggi dalam segala bidang kehidupan dunia dan akhirat, serta kuat dalam amalan kerohanian, ibadat khusus dan ibadat umum.



Esok, umat Islam akan menyambut Maal Hijrah 1431 dan sempena sambutan tersebut adalah disarankan kepada semua teman skuad yang berugama Islam untuk berdoa dengan doa berikut:-


Doa Akhir Tahun (Dibaca 3 kali pada akhir Fardhu Asar atau sebelum solat Fardhu Maghrib 1 Muharram)


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Allah SWT berselawat ke atas junjungan kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.


Ya Allah Wahai Tuhan Kami, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini terhadap hal-hal yang Engkau larang aku untuk melakukannya dan aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat atas kelalianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian atas apa yang Engkau ridhai dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepada-Mu.


Ya Allah Wahai Tuhan Kami, Wahai yang Maha Pemurah, Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepada-Mu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas junjungan kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Doa Awal Tahun (Dibaca 3 kali sesudah solat Fardhu Maghrib 1 Muharram)


Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Allah SWT berselawat ke atas junjungan kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.


Ya Allah Wahai Tuhan Kami, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. Yang awal dan atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang berlimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan para pembantunya dan dari bala tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.


p.s - Semoga segala usaha dan doa kita akan diberkati, diperkenan dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin!


renung - renungkan dan muhasabahkan diri....

Monday, December 14, 2009

Persidangan Agung Bersama PPKP/CPW, PPKP/CI Dan PPRPD 2009/2010

Seremban, Negeri Sembilan - 11 Disember 2009. Persidangan Agung serentak bagi penggal 2009/2010 Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Diwartakan (PPKP/CPW), Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Inspektor ( PPKP/CI) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis ( PPRPD) telah berlangsung pada 10-12 hb Disember 2009 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan.

Buat julung kalianya, Majlis Perasmian Persidangan telah dirasmikan oleh seorang menteri dimana YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri telah hadir dan memberi ucaptama dan seterusnya merasmikan persidangan.

Hadir di Majlis Perasmian Persidangan ialah YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Ismail bin haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH SAC I Dato' Osman bin Haji Salleh, Ketua Polis Negeri Sembilan, YDH SAC I Dato' Mohd Shukri bin Dahlan, Pengerusi PPKP/CPW, ASP Basharuddin bin Mohd Nordin, Pengerusi PPKP/CI, S/Insp Jamal bin Abdullah, Presiden PPRPD, YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM, Timbalan Pengarah PDRM serta perwakilan dari seluruh kontinjen.

Perwakilan dari ketiga-tiga persatuan ini menggunakan persidangan ini bagi mencetuskan idea-idea baru yang positif, dinamik dan berkesan bagi menjana wawasan psukan PDRM sebagai organisasi yang berwibawa dan lebih profesional. Selain itu, perwakilan juga dapat memberi pendapat dan pandangan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan tidak juga mengabaikan kebajikan ahli-ahli selari dengan visi dan misi perjuangan persatuan.

Antara isi yang diberi perhatian semasa persidangan ini adalah Penyusunan Semula Struktur Organisasi PDRM (PSSO), Perubahan Skim Perkhidmatan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Integriti (SIAP) dan kedudukan Pasukan Gerakan Marin.

Antara ucapan oleh YDH Ketua Polis Negara, beliau berharap para perwakilan dapat mengambil peluang melalui perkongsian idea dan pandangan, berupaya mencari satu rumusan terbaik agar Polis Diraja Malaysia terus relevan dengan arus perkembangan dunia masa kini.

" Teruslah memberi khidmat bakti yang tulus ikhlas, dedikasi dan bertanggungjawab. Apabila kesemunya bergerak dilandasan yang betul, saya yakain hasrat kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan negara ini melalui gagasan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' akan tercapai" kata YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dalam ucaptamanya yang mendapat tepukan gemuruh dari semua perwakilan.


Perasmian Persidangan oleh YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri


Antara perwakilan yang hadir, tepukan gemuruh semasa ucaptama oleh YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri


Penyampaian cenderahati oleh YDH Ketua Polis Negara kepada Menteri Dalam Negeri


Gambar kenangan.. Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Diwartakan (PPKP/CPW)


Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Inspektor ( PPKP/CI)


Persatuan Pegawai Rendah Polis ( PPRPD)


Gambar kenangan : Kpl 124973 Mohd Tajuddin & SI Bajok Saganate (PPRPD - Briged Sabah PGA )
bersama IGP YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan

Saturday, November 28, 2009

Koperal 124033 Muhammad Haiqal Daniel Bin Abdullah

gambar skuad diambil pada 2007...

Teman skuad kita Koperal 124033 Muhammad Haiqal Daniel Bin Abdullah telah dilahirkan pada 06 Januari 1969 di Serian, Kuching, Sarawak.


Anak ke – 2 dari 5 orang adik-beradik ini merupakan anggota Platun 9, Kompeni ‘C’, Pusat Latihan Polis Ayer Hitam, Negeri Sembilan Darul Khusus.


Sejurus tamat Kursus Asas Konstabel pada 14 Ogos 1990, skuad telah ditugaskan di Unit Polis Pelancong, IPK Kuala Lumpur. Pada 10 Oktober 1998, skuad telah memohon untuk menyertai Cawangan Khas dan skuad kemudiannya telah melapor diri di Cawangan Khas IPD Sentul pada 16 Disember 1998 dan kekal sehingga sekarang.


Pada 29 Nov 1995, skuad telah dimajukan ke pangkat L/Kpl dan mendapat kenaikan pangkat Koperal pada 1 Disember 2007.


Perjawatan skuad kini adalah sebagai Detektif Ekonomi / Ancaman Luaran (1), Cawangan Khas, IPD Sentul, Kuala Lumpur.


Skuad mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2004 dengan pasangannya Puan Rohaida Binti Ismail. Isteri skuad adalah merupakan seorang anggota polis dan berasal dari Daerah Segamat, Johor Darul Takzim. Skuad dan isteri bagaimanapun belum dikurniakan tuhan dengan cahaya mata. Sabar skuad.... belum ada rezeki lagi tu...


Skuad seorang yang aktif dalam aktiviti sukan dan aktif dalam sukan Ping Pong, Bowling dan Bola Tampar.


Selain itu juga skuad merupakan seorang pengadil sukan bola tampar Kebangsaan selain merupakan Exco Lembaga Pengadil Bola Tampar Kuala Lumpur.


Menyentuh mengenai hobi, skuad menyatakan susah nak menyatakan secara spesifik kerana skuad sentiasa sibuk dengan tugas sejak bertugas sebagai anggota Cawangan Khas, tambahan pula bertugas di Kuala Lumpur.


Sepanjang penugasan dalam PDRM, skuad pernah terlibat dalam pelbagai penugasan antaranya ialah semasa Reformasi di sekitar Kuala Lumpur, Ops Bersih, Ops Protes, Ops Dalil, Ops Padam, Ops Limau, Ops Lemang, persidangan APEC, NAM, OIC, ASEAN dan pelbagai lagi.


Skuad juga pernah mengikuti pelbagai kursus sama ada anjuran pasukan mahupun awam seperti Kursus Unit Polis Pelancong, Kursus Pengendalian Ppndok Polis Kawasan Bandar, Kursus Soal Siasat, Kursus Pilihan Raya dan Kursus Pengadil Bola Tampar peringkat negeri dan kebangsaan.


Dalam aktiviti pengadilan bola tampar, skuad sering kali terlibat dalam mengadili kejohanan antaranya Kejohanan Bola Tampar Belia (Bawah 16) Kebangsaan 2007 di Kuala Lumpur, Pengadil Bola Tampar MAKSAK 2007 di Perlis dan 2008 di Kuala Lumpur, Kejohanan Bola Tampar Piala KPN di Kuala Lumpur pada tahun 2004 dan 2005, di Briged Tengah PGA Cheras pada 2007 dan di Ulu Kinta Perak pada bulan Julai 2009 serta beberapa kejohanan tempatan. Pada 21 – 25 November 2009 yang lalu, skuad terlibat dalam mengadili kejohanan bola tampar belia (bawah 16) di Kuala Selangor.


Skuad menyatakan pernah menghadiri Induksi bagi KPSL di Pulapol Kuala Lumpur pada 2002 namun malangnya tidak berjaya. Cuba lagi skuad...


Wokay skuad, terima kasih kerana memberikan kerjasama kepada blog kita. Apa Khabar Skuad? mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad dan semoga sukses selalu....

Friday, November 27, 2009

Salam Aidil Adha


Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, yang merupakan rukun Islam kelima yang terakhir bagi mereka yang mampu, dan menandakan bermulanya ibadat korban untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.


Aidil Adha jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana antara peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut adalah peristiwa Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, iaitu di luar bandar Mekah.


Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.


Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Solat sunat Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.


Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.


Sempena hari yang mulia ini, Apa Khabar Skuad? mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada teman-teman skuad yang beragama Islam. Dengan doa dan harapan semoga Allah SWT sentiasa memberi hidayah dan memberkati perjalanan hidup kita.


Monday, November 23, 2009

Kpl 124005 Azizan Bin Itam

sori la skuad, kualiti gambar kurang memuaskan... ambik gambar pakai hp murah tu ler jadinyer....

Skuad kita Azizan telah dilahirkan pada 09/05/1968 di Daerah Yan Kecil, Kedah Darul Aman. Skuad adalah merupakan anak bungsu dari 5 orang adik beradik.

Skuad merupakan bekas anggota Platun 9, Kompeni 'C' PULAPAH dan Platun 4 semasa Kursus Asas PPH di Sekolah Latihan PPH Ulu Kinta, Perak Darul Ridzuan.

Selesai menjalani Kursus Asas PPH, skuad telah ditugaskan ke Platun 19, Kompeni 'E' Bn 16 PPH Kota Kinabalu dan seterusnya di Platun 6, Kompeni 'B' Bn 16 PGA selepas rombakan semula Platun dan Kompeni PPH dilaksanakan. Selepas mendapat kenaikkan pangkat Koperal pada bulan Disember 2007, skuad menjawat jawatan sebagai Koperal Seksyen 2, Platun Pertahanan IP Bn 16 PGA Kota Kinabalu sehinggalah kini.

Skuad gemar berjogging bagi mengekalkan tahap fizikal selain berfaedah dalam penugasan skuad sebagai seorang peniup Bugle bagi Bn 16 PGA Kota Kinabalu.

Skuad gemar memancing so sekiranya ada kelapangan masa, skuad akan pergi ke lubuk-lubuk memancing yang terdapat di sekitar Kota Kinabalu. Skuad juga gemar membawa keluarga untuk pergi melancong semasa cuti persekolahan.

Skuad mendirikan rumahtangga pada 22/04/1994 dengan pasangannya iaitu Puan Nursilina Bt. Usman dan dikurniakan dengan seorang anak. Isteri skuad yang berasal dari Daerah Semporna, Sabah adalah merupakan seorang peniaga.



Friday, November 20, 2009

Kpl 123949 Shamsuri Bin Ahmad

Skuad dilahirkan pada 10/08/1967 di Kuala Kangsar dan dibesarkan di Taiping, Perak Darul Ridzuan. Mewarisi darah perwira ayahandanya, anak ke - 5 dari 7 orang adik beradik ini kemudiannya mengikuti jejak langkah ayahandanya dengan memasuki pasukan Polis Diraja Malaysia. Skuad melapor diri di Pusat Latihan Polis Ayer Hitam, Negeri Sembilan dan menganggotai Platun 7 Kompeni 'B'.

Sejurus tamat Kursus Asas Konstabel, skuad bersama teman-teman skuad yang lainnya telah melapor diri untuk mengikuti Kursus Asas PPH di Sekolah Latihan PPH, Ulu Kinta, Perak dan menganggotai pula Platun 8.

Selesai menjalani Kursus Asas PPH, skuad telah ditugaskan ke Platun 4, Kompeni 'A' Bn 16 PPH Kota Kinabalu. Pada tahun 1992, skuad telah ditugaskan pula di Cawangan Tatatertib, IP Bn 16 PPH Kota Kinabalu sehingga penghujung tahun 2005. Pada Januari 2006, skuad telah ditugaskan pula di Platun Pertahanan, Kem Komandan IP Bn 16 PGA Kota Kinabalu sehingga kini. Perjawatan skuad kini adalah sebagai Koperal No. 5, Platun Pertahanan, Kem Komandan IP Bn 16 PGA Kota Kinabalu.

Skuad telah dimajukan ke pangkat Lans Koperal pada tahun 1995 dan mendapat kenaikkan pangkat Koperal pada bulan April 2005 iaitu semasa dalam Cawangan Tatatertib IP Bn 16 PGA.

Skuad menggemari sukan badminton dan di masa terluang mengambil kesempatan untuk turun gelanggang bersama teman-teman sealiran. Skuad juga pernah melibatkan diri dalam acara sukan Perlumbaan Perahu Naga pada tahun 1998 hingga 2000 mewakili PDRM.

Skuad gemar bersiar-siar dan kesempatan masa lapang atau cuti akan digunakan oleh skuad untuk pergi melancong ke pusat-pusat pelancongan di dalam negara.

Skuad mendirikan rumahtangga dengan pasangannya iaitu Puan Norsyaherah @ Imelda Bt. Abdullah pada 11/07/1995. Isteri skuad yang berasal dari Manila, Filipina merupakan seorang warganegara Filipina berbangsa Tagalog. Setelah 14 tahun berumahtangga, skuad dan isteri menyatakan tetap bahagia walaupun masih belum dikurniakan cahaya mata. Sabar jer skuad, belum lagi ler tu...

Sebelum mengakhiri pertemuan, skuad turut memaklumkan bahawa ayahanda dan bondanya yang tercinta telahpun kembali ke rahmatullah pada tahun 2005 dan 2003. Innalillahi wainna ilaihirojiun... semoga roh kedua-dua ayahanda dan bonda skuad dirahmati Allah SWT dan ditempatkan di kalangan mereka-mereka yang mendapat keberkatan tuhan.

Wokay skuad, terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan kepada Apa Khabar Skuad?


gambar klasik nih... acara makan beradap semasa majlis perkahwinan skuad

pasangan bahagia 2 negara...

Bro Shamsuri bersama teman-teman skuad selepas Mesyuarat Penyelarasan Majlis Reunion pada 13/11/2009 yang lalu...

Wednesday, November 18, 2009

Kpl 124409 Zainuddin Bin Asari

Bro Zainuddin...

Skuad kita, Kpl 124409 Zainuddin telah dilahirkan pada 16/02/1966 di Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan. Merupakan anak ke-9 dari 10 orang adik beradik, skuad telah menganggotai Platun 21, Kompeni 'F' di Pusat Latihan Polis Ayer Hitam, Negeri Sembilan.

Sepertimana teman skuad yang lainnya, sejurus tamat Kursus Asas Konstabel, skuad menjalani pula Kursus Asas PPH di Sekolah Latihan PPH di Ulu Kinta, Perak. Skuad telah menganggotai Platun 18 semasa mengikuti kursus ini.

Setelah menamatkan Kursus Asas PPH, skuad mengikuti pula Kursus Asas Semboyan di Sekolah Latihan UKK, Muar, Johor Darul Takzim selama 6 bulan. Skuad kemudiannya ditugaskan ke Platun 13, Kompeni 'D', Bn 16 PPH Kota Kinabalu dan telah melapor diri pada 21/05/1991. Pada 19/10/1992, skuad telah ditukarkan ke Cawangan Komunikasi IP Briged Sabah PPH dan kekal sehingga sekarang. Perjawatan skuad kini adalah sebagai Koperal Komunikasi (Ops) 12.

Skuad mendapat kemajuan pangkat L/Kpl pada 01/10/1993 dan kenaikkan pangkat Koperal pada 01/01/2006.

Dalam aktiviti sukan dan riadah, skuad menggemari sukan Bola Tampar dan Sepak Takraw. Skuad seringkali turun gelanggang sekiranya ada masa terluang dan skuad juga seringkali terlibat mewakili IP Briged Sabah PGA dalam pertandingan Bola Tampar dan Sepak Takraw Piala Komander Briged Sabah PGA.

Skuad mendirikan rumahtangga dengan Puan Salidah Bt. Mohd Yussof pada 31/07/1993 dan dikurniakan dengan 5 orang anak iaitu 3 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan. Isteri skuad berasal dari Kg. Tenambak, Kuala Penyu, Sabah merupakan seorang surirumah sepenuh masa.

Tuesday, November 17, 2009

Majlis Reunion Skuad 1/90

Susulan dari Mesyuarat Penyelarasan Majlis Reunion Skuad 1/90 yang diadakan pada 13/11/2009 (Jumaat) yang lalu, berikut adalah ketetapan yang telah dicapai dalam mesyuarat tersebut :

1. Majlis Tahlil Sempena 20 tahun Skuad 1/90

Tarikh : 07/01/2010 (Khamis)
Masa : 1800 hrs
Tempat : Surau Batalion 16 PGA Kota Kinabalu
Pakaian : Baju Kebangsaan bersampin
Bayaran : RM 10.00 (bagi menyediakan minuman dan kudapan selepas majlis selesai)

* pembayaran boleh dibuat kepada Sjn 123898 Abdullah (Psjn Bn 16 PGA) - 016-8412357.

2. Majlis Reunion Skuad 1/90

Tarikh : 30/01/2010 (Sabtu)
Masa : 0800 hrs - 1600 hrs
Tempat : Borneo Paradise Beach Hotel, Kinarut, Papar
Pakaian : T-Shirt Reunion/Track Suit/Kasut Sukan
Bayaran : Dewasa (13 tahun ke atas) RM 50.00
Kanak-kanak (6 tahun - 12 tahun) RM 30.00
Kanak-kanak (5 tahun kebawah) FOC
RM 3.00 untuk pembelian hamper

* Semua teman Skuad 1/90 yang hadir dikehendaki membawa 1 hadiah yang siap dibungkus (nilai adalah terpulang kepada setiap individu) bagi acara 'Pot Luck' dan diserah kepada Urusetia semasa pendaftaran kehadiran (30/01/2010).

Borneo Paradise Beach Hotel, Kinarut

3. Majlis Makan Malam Skuad 1/90

Tarikh : 30/01/2010 (Sabtu)
Masa : 2000 hrs
Tempat : Airport View Hotel, Tg Aru
Pakaian : Casual Smart
Bayaran : RM 55.00

Airport View Hotel a.k.a Wisma Hong Lee, Tg Aru...

Semua pembayaran oleh teman-teman skuad dari luar Kota Kinabalu boleh dibuat melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1212829835547985 atas nama Muhammad Rizal Bin Kamarolzaman. Sila SMS kepada 019-5703827 untuk makluman selepas bank-in.

Kepada teman-teman skuad dari IP Briged Sabah dan Bn 16 PGA Kota Kinabalu, anda boleh membuat pembayaran bagi Majlis Reunion secara terus kepada Kpl 123988 Norsham no. hp 013-8589335 di Kew/Bangunan IP Briged Sabah PGA. Pembayaran bagi Majlis Makan Malam pula boleh dibuat kepada Sjn 124777 Mazlan Bin Abdullah no. hp 013-5459738 di Caw. Risik Bn 16 PGA.

Pembayaran 50 % dari keseluruhan bayaran yang perlu dibayar (Majlis Reunion dan Makan Malam) hendaklah dibuat pada atau sebelum 30/11/2009 untuk membolehkan pengesahan tempahan tempat dilakukan manakala pembayaran baki seterusnya boleh dijelaskan pada gaji bulan Disember.

* Untuk kemudahan pengurusan, adalah dinasihatkan supaya pembayaran dibuat secara sekaligus (kepada yang berkemampuan).

Saturday, November 14, 2009

L/Kpl 124009 Mohamad Anuar Bin Samat @ Ahmad


L/Kpl Mohamad Anuar Bin Samat atau dikenali sebagai Ustaz Anuar di kalangan teman-teman telah dilahirkan pada 05/11/1965 di Simpang Empat, Semanggol, Perak Darul Ridzuan. Skuad merupakan anak ke-2 dari 3 orang adik beradik.

Sejurus selepas melapor diri di PULAPAH, skuad telah menganggotai Platun 9, Kompeni 'C'. Skuad kemudiannya menganggotai pula Platun 4 semasa Kursus Asas PPH di Sekolah Latihan PPH di Ulu Kinta Perak, Darul Ridzuan.

Tamat Kursus Asas PPH, skuad telah ditukarkan ke Platun 19, Kompeni 'E' Bn 16 PPH Kota Kinabalu dan telah melapor diri pada 21/11/1990. Pada bulan April 1993, skuad telah di'attach'kan di Unit Gaji, Cawangan Kew/Bangunan Briged Sabah PPH sehingga tahun 2004 di mana skuad telah di'attach'kan pula di Persenjataan Kem Komandan IP Bn 16 PGA Kota Kinabalu. Pada tahun 2007, skuad telah ditugaskan di Cawangan Kem Komandan IP Bn 16 PGA Kota Kinabalu dengan perjawatan sebagai Konst Platun Pertahanan dan kekal sehingga kini.

Skuad menggemari sukan badminton dan aktif dalam sukan tersebut.

Dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan, skuad merupakan Ahli Jawatan Kuasa Kelab Polis Bn 16 PGA dan juga merupakan Juru Audit Kelab Polis Bn 16 PGA Kota Kinabalu.

Sebelum penubuhan BAKA, skuad sering ditugaskan sebagai Imam dan mengetuai bacaan doa dalam majlis-majlis rasmi anjuran pasukan selain seringkali dijemput untuk mengetuai majlis bacaan yassin dan tahlil anjuran pegawai dan anggota Bn 16 PGA. Skuad juga adalah merupakan seorang Amil yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam Negeri Sabah bagi mengutip zakat fitrah pegawai dan anggota Bn 16 PGA Kota Kinabalu semasa di Bulan Ramadhan.

Skuad mendirikan rumahtangga pada 05/11/1993 dengan pasangannya iaitu Puan Noorhayati Bt. Omar. Isteri skuad yang berasal dari Bukit Merah, Perak Darul Ridzuan adalah seorang surirumah. Skuad dan isterinya dikurniakan tuhan dengan 3 orang cahayamata iaitu 2 orang anak perempuan berusia 14 dan 8 tahun dan 1 orang anak lelaki berusia 16 tahun.

Ok skuad, terima kasih Apa Khabar Skuad? ucapkan di atas kerjasama dan informasi yang telah diberikan!

Thursday, November 12, 2009

Insp. I/16231 Ku Azam Bin Ku Abdullah (RF 124947)

Seorang lagi skuad kita yang telah berjaya meningkatkan diri dalam karier dengan PDRM adalah Insp. Ku Azam Bin Ku Abdullah. Skuad dilahirkan pada 01/08/1969 di Sg. Siput (U), Perak Darul Ridzuan merupakan anak ke-4 dari 6 orang adik beradik.

Dengan nombor badan RF 124947, skuad merupakan anggota Platun 16, Kompeni 'B' PULAPOL Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Semasa menjalani Kursus Asas PPH di SLPPH Ulu Kinta, Perak, skuad menganggotai Platun 2.

Selepas tamat Kursus Asas PPH, skuad telah ditugaskan ke KOMBAS Lahad Datu. Posting skuad seterusnya ialah di Kompeni 'A' Bn 14 PPH Tawau sebelum bertukar ke Bn 17 PGA Lahad Datu. Semasa di Bn 17 PGA Lahad Datu, skuad sempat menjawat jawatan sebagai Platun Sarjan Tiger Platoon.

Pada pertengahan tahun 2003, permohonan skuad untuk mengikuti KPSL telah diluluskan dan skuad kemudiannya secara rasmi ditauliahkan sebagai seorang Inspektor pada tahun 2004.

Perjawatan skuad kini adalah sebagai Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Penampang.

Dalam aktiviti persatuan, sosial dan kemasyarakatan, skuad pernah menjawat jawatan Setiausaha PPRPD bagi Briged Sabah PGA untuk sesi 2003/2004 dan merupakan wakil PPRPD bagi Bn 17 PGA. Skuad juga merupakan bekas Imam Besar dan Khatib Masjid Jamik Bn 17 PGA Lahad Datu selama lebih 7 tahun.

Skuad menggemari sukan bola sepak dan merupakan peminat setia Kelab Arsenal.

Di kalangan teman-teman skuad, skuad dikenali dengan panggilan Ustaz. Selain itu juga skuad mempunyai hobi membaca buku dan menghabiskan masa terluang dengan membaca buku-buku ilmiah dan keagamaan.

Skuad mendirikan rumahtangga pada 08/11/1992 dengan pasangannya iaitu Puan Sulayan Bt. Lagi dan dikurniakan dengan 6 orang cahayamata iaitu 4 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan. Isteri skuad, Puan Sulayan berasal dari Daerah Lahad Datu, Sabah adalah merupakan seorang ahli perniagaan.

Ok skuad, terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan dan Apa Khabar Skuad? mengucapkan selamat maju jaya, semoga sukses selalu dan berbahagia bersama keluarga yang tersayang. Tq, Sir!

Tuesday, November 10, 2009

Sjn 123909 Muhd Sabari Bin Ibrahim


Teman skuad dilahirkan pada 05/09/1967 di Kuala Berang, Terengganu. Skuad merupakan anak bungsu dari 3 orang adik beradik.

Sejurus melapor diri di PULAPAH, skuad telah menganggotai Platun 5, Kompeni 'B' dan Platun 6 semasa Kursus Asas PPH di SLPPH Ulu Kinta, Perak. Selesai Kursus Asas PPH, skuad telah ditugaskan di KOMBAS Semporna dan te;ah melapor diri pada 22/10/1991. Penugasan skuad seterusnya adalah di IP Bn 14 PGA Tawau. Pada 17/08/2009 skuad telah melapor diri di Cawangan Hal Ehwal Awam IPK Kota Kinabalu dan kekal sehingga kini.

Menyentuh sedikit tentang peningkatan kerjaya dalam pasukan, skuad telah mendapat kenaikkan Koperal pada 01/01/2005 dan pangkat Sarjan pada 01/10/2008.

Skuad telah mendirikan rumahtangga pada 28/12/1995 dengan pasangannya iaitu Puan Maryani Bt. Abdullah. Skuad mempunyai 3 orang anak iaitu 2 orang anak lelaki dan 1 orang anak perempuan. Isteri skuad berasal dari Daerah Tawau, Sabah adalah merupakan seorang surirumah.

Monday, November 9, 2009

Sjn 124846 Shahri Bin Hj. Noor

bro Kadir, Bro Shahri dan Bro Rizal me'ngeteh' dekat warong sebelah car wash Kepayan sementara tunggu kereta siap dicuci.....

gambar diambil pagi tadi....

berdasarkan skop penugasannya, susah nak tengok bro Shahri ni pakai uniform....

Wokay skuad, hari ni laman blog kita bertuah kerana mendapat penyertaan seorang lagi teman lama kita. Teman skuad adalah Sjn 124846 Shahri Bin Hj. Noor.

Dilahirkan pada 02/04/1968 di Kg. Sg. Dua, Asahan, Melaka, skuad merupakan anak bungsu dari 8 orang adik beradik. Kepada teman-teman yang tidak mengetahui, skuad juga adalah merupakan adik kepada Bro Kadir (Cawangan Khas, IPK Kota Kinabalu) kita.

Skuad menyertai PDRM bersama-sama abangnya dan telah ditempatkan dalam Platun 12, Kompeni 'B' PULAPOL Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Abangnyer iaitu Bro Kadir pula ditempatkan dalam Platun 1, Kompeni 'A', PULAPOL.

Selepas tamat Kursus Asas Konstabel, skuad telah mengikuti pula Kursus Asas PPH di SLPPH Ulu Kinta, Perak dan ditempatkan dalam Platun 2 di bawah kendalian Insp/P. Mohd Khalid. Selepas tamat KAPPH, skuad telah ditugaskan di Platun 12, Kompeni 'C', Bn 16 PPH di bawah seliaan Sjn Mohd Jewa Agindoi. Platun ini agak istimewa kerana sebelum anggota skuad 1/90 melapor diri, platun ini hanya wujud sekadar nama sahaja manakala pegawai dan lain-lain anggota platun tidak ada. 97 % dari keanggotaan platun ini adalah merupakan anggota-anggota Skuad 1/90 dan cuma 3 orang jer orang lamer. Platun Komander pun tak ada!

Semasa Kompeni 'C' Bn 16 PPH dipindahkan ke Daerah Kudat, Sabah pada bulan Jun 1991, skuad turut ikut serta berpindah bersama-sama pegawai dan anggota Kompeni 'C' Bn 16 PPH. Pada bulan Februari 1993, permohonan skuad untuk menyertai Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM berjaya dan skuad kekal dalam unit tersebut sehingga kini dengan perjawatan sebagai Sarjan Gerakan Team Selam Tempur UTK.

Sebagai seorang anggota UTK, skuad banyak terlibat dalam penugasan sama ada dalam atau luar negara. Skuad juga banyak mengikuti kursus-kursus sesuai dengan penugasannya dalam unit elit PDRM. Antara kursus yang disertai oleh skuad adalah Kursus Selam Tempur. Skuad memaklumkan sebelum diterima menyertai Team Selam Tempur UTK pada tahun 1993, skuad terlebih dahulu telah menghadiri Kursus Asas Penyelam Kapal yang dijalankan selama 7 minggu di KD Pelanduk, TLDM Lumut. Kursus tersebut telah dikendalikan sepenuhnya oleh Team Paskal TLDM di bawah Program Other Government Agency (OGA).

Dalam karier sebagai anggota polis, skuad mendapat kenaikkan pangkat Koperal pada tahun 1999 dan Sarjan pada 2007.

Walaupun sibuk dengan penugasan sebagai seorang anggota UTK namun sedapat mungkin skuad akan meluangkan masa kepada keluarga dan masyarakat. Dalam aktiviti persatuan, skuad turut aktif dengan PIBG Sek. Keb. Desa Baiduri dan PIBG Sek. Men. Damai Perdana, Cheras, Kuala Lumpur.

Skuad telah mendirikan rumahtangga pada 02/11/1995 dengan pasangannya iaitu Puan Norhayati Bt Abdul Hamid yang berasal dari Felda Keratong 2, Pahang Darul Makmur. Isteri skuad merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Pada 02/11/2009 yang lalu genaplah 14 tahun usia perkahwinan skuad dan sepanjang tempoh tersebut, skuad telah dikurniakan dengan 4 orang anak iaitu 3 lelaki dan 1 perempuan.

Wokay skuad, terima kasih di atas kerjasama dan penyertaan skuad dalam blog ini. Apa Khabar Skuad? mengucapkan selamat maju jaya dan semoga sukses dalam kerjaya dan berbahagia selalu bersama keluarga tercinta... Tq skuad!


Saturday, November 7, 2009

Kpl 124466 Wan Makhtar Bin Wan Mahmud

Bro kita, Wan Makhtar dilahirkan pada 22/05/1965 di Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. Anak ke-2 dari 10 orang adik beradik ini merupakan bekas anggota Platun 20, Kompeni 'F' PULAPAH. Semasa Kursus Asas PPH, skuad menganggotai pula Platun 20.

Selesai menjalani Kursus Asas PPH di SLPPH Ulu Kinta, skuad telah ditugaskan di Platun 9, Kompeni 'C', Bn 16 PPH Kota Kinabalu dan seterusnya Platun 7, Kompeni 'C' selepas rombakan semula Kompeni dan Platun PPH pada awal tahun 90an.

Pada bulan Mei 2002, skuad telah bertukar ke Bahagian Operasi, Cawangan Narkotik IPK Kota Kinabalu. Pada bulan Februari 2006, skuad telah ditugaskan pula di Bahagian Pelucuthakkan Harta, Cawangan Narkotik IPK Kota Kinabalu sehingga bulan Ogos 2008 di mana skuad telah ditugaskan kembali di Bahagian Operasi. Perjawatan skuad kini adalah sebagai Koperal (Ops) Narkotik

Skuad menggemari sukan bolasepak. Walaupun tidak lagi aktif kerana masa tugas yang tidak menentu, skuad tetap mengikuti perkembangan sukan bola sepak sama ada di dalam mahupun di luar negara terutamanya kelab kegemarannya iaitu Chelsea. Skuad juga merupakan peminat pemain midfield kelab Real Madrid iaitu Ricardo Izecson dos Santos Leite atau lebih dikenali dengan nickname KaKa.

Skuad menyatakan bahawa hobinya mendengar muzik dan muzik yang digemarinya adalah dari genre blues dan jazz-rock fusion.

Skuad mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya pada 20/11/1993. Isteri skuad, Puan Rusniah Bt. Julkifli berasal dari Daerah Kudat, Sabah merupakan seorang surirumah sepenuh masa. Hasil perkongsian hidup skuad dan isterinya telah dikurniakan dengan 4 orang anak iaitu 3 orang anak perempuan dan 1 orang anak lelaki.

Semasa dimaklumkan berkaitan Majlis Reunion Skuad 1/90 yang dijadualkan diadakan pada bulan Januari tahun hadapan, skuad memberikan respons positif dengan terus membuat pembayaran secara tunai. Pun begitu, skuad menyatakan tidak pasti dapat hadir ke majlis tersebut kerana penugasannya yang tidak menentu. Apapun Apa Khabar Skuad? mengucapkan terima kasih di atas komitmen dan respons yang ditunjukkan oleh bro Wan kita... Tq skuad!

Bro Wan Makhtar...

Friday, November 6, 2009

L/Kpl 124150 Norazman Bin Taharin

Bro Norazman...

Skuad telah dilahirkan di Daerah Tampin, Negeri Sembilan Darul Khusus pada 25/09/1967 dan merupakan anak ke-4 dari 7 orang adik beradik.

Di PULAPAH, Ayer Hitam, skuad telah menganggotai Platun 13, Kompeni 'D' dan seterusnya juga Platun 13 semasa Kursus Asas PPH di SLPPH Ulu Kinta, Perak.

Selepas tamat mengikuti Kursus Asas PPH, skuad telah ditugaskan ke Platun 4, kompeni 'A', Bn 16 PPH Kota Kinabalu pada pertengahan bulan November 1990. Posting skuad seterusnya adalah Platun 2, Kompeni 'A' Bn 16 PPH, Cawangan Kew/Bangunan Ibu Pejabat Briged Sabah PPH, kembali semula ke Kompeni 'A' Bn 16 PGA dan seterusnya di Platun Pertahanan, Bn 16 PGA Kota Kinabalu sehingga kini. Perjawatan skuad sekarang adalah sebagai Rifle Komander Seksyen 1, Platun Pertahanan Bn 16 PGA Kota Kinabalu, Sabah.

Skuad mendirikan rumahtangga dengan pasangannya Puan Kiah @ Nasriah Bt. Abdullah pada 07/02/1993 dan dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata iaitu 2 orang anak lelaki dan 1 orang anak perempuan. Isteri skuad yang berasal dari Kg. Sangkir, Taun Gusi, Kota Belud, Sabah merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

Skuad gemar melancong dan sering membawa keluarganya melancong di tempat-tempat menarik dalam negara semasa cuti persekolahan. Dalam acara sukan pula, skuad menggemari sukan badminton dan sering mengikuti perkembangan terkini acara sukan badminton tempatan dan luar negara.

Mengimbau kenangan lalu, skuad memaklumkan pernah berniaga di kantin sekolah sebelum memasuki perkhidmatan Polis Diraja Malaysia dan minat yang mendalam dalam pasukan beruniform membuatkannya memohon memasuki PDRM bersama-sama Skuad 1/90 yang lain.

Terima kasih Skuad atas kerjasama yang diberikan!