Monday, January 24, 2011

L/Kpl 124316 Masiun @ Siun Bin Kibing

L/Kpl 124316 Masiun telah dilahirkan pada 15/12/1969 di Kg Dalas, Pitas, Sabah. Anak sulung dari 3 orang adik-beradik ini adalah dari suku kaum Rungus iaitu salah satu dari lebih kurang 32 suku kaum peribumi yang terdapat di negeri Sabah.


Sejurus melapor diri di PULAPAH, Ayer Hitam Negeri Sembilan, skuad telah ditempatkan di dalam Platun 18 Kompeni ‘E’. Selesai menjalani Kursus Asas Konstabel, skuad telah mengikuti pula Kursus Asas PPH di Sekolah Latihan PPH Ulu Kinta, Perak dalam Platun 15. Skuad kemudiannya diarah melapor diri di Kompeni ‘C’ Bn 16 PPH Kota Kinabalu selepas menamatkan Kursus Asas PPH dengan jayanya.


Mendapat kemajuan pangkat L/Kpl pada 1994, skuad kini merupakan ‘orang lama’ dalam platunnya. Skuad merupakan antara keanggotaan asal Platun 12, Kompeni ‘C’ Bn 16 PGA yang beribu pejabat di Kudat, Sabah sebelum platun tersebut dibubarkan selepas pengecilan organisasi PPH pada awal 90-an. Perjawatan skuad kini adalah sebagai Bren Komander Seksyen 1, Platun 9, Kompeni ‘C’ Bn 16 PGA.


Skuad meminati sukan bola sepak dan gemar bermain dalam posisi pertahanan. Skuad juga sentiasa mengikuti perkembangan sukan bola sepak dalam dan luar negara serta merupakan penyokong setia Kelab Manchester United. Idolanya adalah pemain ‘attacking midfielder’ MU yang berasal dari Brazil iaitu Anderson Luis de Abreu Oliveira.


Selain bola sepak, skuad juga meminati sukan ping pong.


Sewaktu ada kelapangan, skuad sering terlibat dalam aktiviti ‘Mock Diving’. Sering kali ada ‘hasil’ yang dibawa pulang selepas aktiviti tersebut dijalankan dan skuad tidak lokek untuk berkongsi hasil tangkapannya dengan jiran dan rakan-rakan sekiranya hasil tangkapannya lumayan.

Skuad mendirikan rumah tangga pada 19/02/1987 dengan pasangannya Puan Haily Bin Ibing. Isteri skuad berasal dari Kg. Longgom Kecil, Kudat adalah merupakan seorang usahawanis yang mengusahakan sendiri sebuah kedai menjahit pakaian. Hasil perkongsian hidup skuad dan isterinya telah dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata iaitu 2 orang anak lelaki dan 1 orang anak perempuan. Oleh sebab melangsungkan perkahwinan dalam usia yang agak muda, semua anak-anak skuad kini telah pun dewasa. Anak-anak lelaki skuad kini telah pun bekerja manakala anak bongsunya (perempuan) masih menuntut di salah sebuah universiti di Semenanjung Malaysia.


Sepanjang kerjaya dalam pasukan, skuad banyak terlibat dalam pelbagai penugasan dan operasi. Antara pengalaman tugasnya, skuad pernah terlibat menyertai misi pengaman PBB pada 2008 dalam misi UNMIT PDRM ke Republik Demokratik Timor-Leste. Sepanjang 6 bulan penugasan, skuad telah berjaya membuktikan kepada teman-teman dan pegawai atasannya bahawa skuad adalah seorang yang komited terhadap tugas dan berkeupayaan bekerjasama dalam satu pasukan. Skuad berjaya membuktikan bahawa biarpun terpaksa berjauhan dalam tempoh yang agak panjang dengan keluarga selain bertugas dalam situasi yang sering kali mengancam keselamatan diri dan mencabar emosi, skuad berjaya mengekalkan mutu kerja yang tinggi. Wokay skuad, Apa Khabar Skuad? mengucapkan syabas dan terima kasih di atas kerjasama yang telah skuad berikan.


Monday, January 10, 2011

Insp Afizuddin Bin Mohamad Ayop (RF 124499)

Apa khabar skuad? Lama benar dah tak menulis mengenai teman-teman skuad di laman ini so kali ini sebagai pembuka bicara di tahun baru 2011, saya akan mengetengahkan biodata seorang lagi teman skuad kita. Teman skuad yang dimaksudkan adalah Insp Afizuddin Bin Mohamad Ayop (RF 124499).


Skuad telah dilahirkan pada 15/04/1969 di Kroh, Perak dan dibesarkan di Merbok, Kedah Darul Aman. Mendapat pendidikan sehingga tingkatan Enam dan sebaik menamatkan zaman persekolahan, skuad terus memohon jawatan Konstabel pada tahun 1989.


Sejurus keputusan pengambilan dikeluarkan, skuad telah diarah melapor diri untuk mengikuti latihan asas Kepolisan di Pulapah Ayer Hitam Negeri Sembilan pada 07/01/1990.


Selesai menjalani Kursus Asas Konstabel, skuad mengikuti pula Kursus Asas PPH di SLPPH ULU Kinta, Perak. Skuad merupakan anggota Platun 17.


Pada Disember 1990, skuad telah ditugaskan di Platun 12, Kompeni C Kota Kinabalu, Sabah. Skuad turut serta berpindah ke Kudat, Sabah ekoran perpindahan Kompeni C Bn 16 PPH dari Kota Kinabalu ke Kudat pada pertengahan tahun 1991. Pada tahun 1993, skuad telah mengikuti Kursus Pra Pengesahan di PLP Bukit Siol Kuching Sarawak.


Berikutan pengecilan organisasi PPH pada tahun 1994, skuad telah diarahkan bertukar ke Batalion 14 PPH Tawau, Sabah. Pada tahun 1995, permohonan pertukaran skuad telah diluluskan dan skuad telah bertukar balik ke Semenanjung dan bertugas di Bukit Aman.


Pada tahun 1998, setelah mengikuti kursus peralihan Detektif, skuad telah bertugas sebagai L/Kpl Detektif di bahagian D5 selama 3 bulan sebelum bertukar ke Bahagian Operasi Khas (D8), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.


Pada tahun 2007, skuad telah dinaikkan pangkat ke pangkat Koperal.


Berikutan permohonan skuad untuk mengikuti KPSL diluluskan, pada Jun 2008, skuad telah mengikuti pula Kursus Asas Inspektor. Sejurus menamatkan latihan pada 08/12/2008, skuad telah diarahkan untuk bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di IPD Sentul Kuala Lumpur. Oleh kerana kepentingan tugas pada bulan November 2010, skuad telah diarahkan untuk bertukar sebagai Insp Unit Intipan 2 Bahagian Operasi Khas (D8) di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kekal sehingga kini.


Skuad mendirikan rumahtangga dengan teman sekampungnya iaitu Junaida Bt. Abdullah yang bertugas sebagai kerani di Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Putrajaya. Hasil perkongsian hidup skuad dan isteri telah kurniakan tuhan dengan dua orang putera Aliff Ashraf (17 thn) dan Aliff Imran (12 thn) serta seorang puteri Aisyah Umairah (9 thn).


p.s – terima kasih skuad di atas penyertaan skuad di ruangan ini.


Bergambar bersama teman-teman Platun 17 di Ulu Kinta..

Bergambar di IPD Pasir Putih semasa Pilihanraya Tahun 1990..

Gambar semasa Kursus CQB di Bukit Aman


Friday, January 7, 2011

Selamat Ulang Tahun


Hello, apa khabar skuad? Hari ini genaplah 21 tahun perkhidmatan kita dalam PDRM. Juga bermakna telah genap 21 tahun kita berada bersama dalam satu pasukan. Moga kita akan terus bersama-sama hingga ke penghujungnya. Semalam sepertikan baru sekejap benar berlalu, skuad. Masih terasa baru lagi kita melangkah masuk ke gerbang depoh latihan. Mengharungi suka dan duka. Awan mendung, hujan ribut serta terik mentari.

21 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Rata-ratanya kesemua dari kita telah menghabiskan sebahagian dari usia kita dalam pasukan yang kita cintai. Rambut yang dulunya hitam dan lebat kini semakin hari semakin bertukar putih dan berkurang. Tubuh yang dulunya gagah perkasa kini semakin hari semakin lemah dan mula menghadapi pelbagai komplikasi. Baki tempoh perkhidmatan, rata-rata kita hanya tinggal 15 ke 16 tahun saja lagi. Baki usia yang tinggal ntah siapa yang tahu. Maha mengetahui Allah yang Esa.

Dari sejumlah besar kita yang bergelar Skuad 1/90, syukur ramai yang masih lagi meneruskan perjuangan suci ini. Ramai yang telah mengundurkan diri dan ramai juga yang telah pergi buat selamanya menyahut panggilan Ilahi. Ucapan syukur kepada Allah yang Esa di atas apa yang telah dikurniakan dan dipanjatkan doa buat mereka yang telah tiada.

Akhir kata dari Apa Khabar Skuad? Jaga diri, jaga famili dan jaga institusi yang kita cintai ini. Moga Allah SWT sentiasa memberkati kita semua dan memberikan kita kesudahan yang baik. Amin!

p.s – selamat menyambut ulang tahun ke 21, skuad!

Thursday, January 6, 2011

Majlis Tahlil

Sebagaimana yang telah disepakati, selepas solat Maghrib bertempat di Masjid Kem PGA Kinarut telah diadakan majlis tahlil dan bacaan surah Yassin. Jumlah kehadiran rakan skuad agak menggalakkan walaupun dengan kesibukan tugas masing-masing dan kebetulan juga hujan turun dengan lebatnya. Antara jemputan yang hadir dalam majlis ini adalah YDH SAC Ahmad Marzuki B. Mohd Saad (Komander Briged Sabah PGA) Supt Bachok B. Labaya (Peg. Pemerintah Bn. 16 PGA) DSP Ab Rashid B. Abdullah (Ajutan Briged Sabah PGA), ASP Low Wee Chong, ASP Nor Ridzuan B. Daud, Insp Mohd Nazlan B. Hambali dan SI Bajok Saganate. Selain jemaah masjid, adik-adik rekrut baru dari PULAPOL Kuching yang baru melapor diri di Briged Sabah PGA juga turut hadir memeriahkan lagi majlis.

Majlis tahlil dan bacaan Surah Yassin telah dibimbing oleh Ustaz (Insp) Ku Azam dan Ustaz Anuar Samad.

Bagi pihak rakan Skuad 1/90 Kota Kinabalu, Apa Khabar Skuad? mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pegawai dan anggota Briged Sabah PGA di atas sokongan dan kerjasama semua dalam menjayakan majlis ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Ajutan Briged Sabah PGA yang telah memberikan sumbangan peribadi bagi menambah modal penyediaan juadah pada malam ini.

Ucapan alu-aluan dari Bro Rizal selaku Pengerusi Majlis

Antara rakan skuad yang hadir

Pak Usu dan Abang Jef...

Bro Rehan... tenung apa tu?

Bro Azahar dan Bro Roslih

Bro Kadir

Menadah tangan memohon doa kepada Allah Yang Esa...

YDH Komander Briged Sabah PGA, Ustaz Ku Azam dan Ustaz Anuar

Aik Yop... macam baru lepas akad nikah jer...

antara yang baru dan lama...

Jemaah yang hadir...

Bro Jefry Rashidi, Sazari dan Azahar

Pak Usu Jamil

YDH Komander Briged Sabah PGA

5 orang Yop...

Ajutan Briged Sabah PGA

Bro Kadir, Kamal, Hanif dan Jefry Rashidi

Bro Ah Seng, Tok Moh dan Hassan..

Bergambar beramai-ramai selepas selesai majlis Tahlil dan bacaan surah Yassin..

Aik.. macam marah jer tu... kenapa, nasi tak cukup ker?

Tambah lagi bos!

Ni la yang dikatakan sehati sejiwa... Makan pun sepinggan beb!

Tu dia tak cukup pinggan, hang balun pakai kotak pulak...

Sempat lagi bergambar beramai-ramai sekali lagi...

makan bro, jangan tak makan...

Ni nak habaq... Mamu, awatnya... takkan awai lagi dah ngantuk kut!

Tuesday, January 4, 2011

Berita Skuad

Apa Khabar Skuad? Ucapan salam sejahtera.... salam 1Skuad buat semua teman-teman skuad 1/90.... Semoga kesejahteraan sentiasa dilimpahi kepada semua tidak kira di mana jua berada dan dalam apa situasi sekalipun.

Sedar tak sedar 3 hari lagi (07/01/2011) genaplah 21 tahun usia skuad 1/90 dalam perkhidmatan PDRM. Sudah pasti pelbagai pengalaman pahit manis sebagai warga PDRM telah kita harungi bersama. Apakah cukup pengalaman yang kita ada? Apakah bekalan dan persediaan untuk kita menghadapi penugasan, cabaran dan dugaan yang akan mendatang?

Ada di kalangan rakan-rakan kita yang berjaya.. ada yang biasa-biasa saja dan ada juga yang telah pergi untuk selamanya mengadap Allah SWT, Pencipta seluruh umat dan segala isi alam. Adakah kita pernah bermuhasabah diri? Di mana kedudukan kita sekarang dan di manakah akan kita tujui?

Sempena ulangtahun yang ke-21 pada 07/01/2011 nanti... Rakan-rakan skuad 1/90 di sekitar Kota Kinabalu, Sabah telah mengambil pendekatan untuk mengadakan Majlis Tahlil dan Bacaan Surah Yasin sebagai acara sambutan bagi tahun ini. Perjumpaan awal telah diadakan pada 26/12/2010 manakala perbincangan kali kedua pula telah diadakan pada 02/01/2011 yang lalu. Kesepakatan ini telah diambil dengan daya usaha semua teman-teman skuad yang masih berkhidmat di Negeri di Bawah Bayu.

Antara teman-teman skuad yang menghadirkan diri pada perjumpaan awal

Nampak serius teman skuad kita ni berdiskusi

Kesepakatan telah diambil...ada lagi teman skuad yang pening nampak tu.. relax la bro

Kem baru PGA di Kinarut, Papar.

Masjid PGA Kinarut... lokasi majlis akan berlangsung

Tujuan utama majlis ini diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran serta mendoakan kesejahteraan semua rakan skuad dan keluarga samada yang masih hidup ataupun yang telah pergi untuk selamanya. Di samping itu ianya merupakan tanda ikhlas persahabatan serta bagi mengeratkan silaturrahim sesama rakan skuad.

Sempena Majlis Tahlil dan Bacaan Surah Yasin yang akan diadakan nanti... Apa Khabar Skuad? bagi pihak AJK Penganjur, menjemput seluruh rakan-rakan skuad samada berugama Islam ataupun tidak yang berada di sekitar Kota Kinabalu mahupun di mana juga anda berada untuk sama-sama menjayakan Majlis pada ketetapan seperti berikut:

Tarikh : 06/01/2011 ( Khamis )
Masa : 1800 Hrs ( Solat Maghrib dan meneruskan Majlis )
Tempat : Masjid PGA Kinarut, Papar.
Pakaian : Berbaju Melayu dan bersampin

p/s: Apa Khabar Skuad? .... Ribuan terima kasih kepada teman-teman skuad yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak bagi merealisasikan majlis ini.