Friday, November 25, 2011

Awal Muharram


Assalamualaikum skuad! Esok kita akan menyambut Maal Hijrah. Sepertimana yang kita ketahui, Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan permulaan tahun baru mengikut Takwim Islam. Ianya bermula sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah dalam tahun 622 masihi. Selain itu, Maal Hijrah juga merujuk kepada peralihan daripada sesuatu yang negatif (buruk) atau kurang baik kepada yang lebih baik atau sempurna.


Hijrah bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam malah ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, melaksanakan tugas yang diamanahkan dan seribu satu sebab untuk berhijrah adalah merupakan tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.


Kebiasaannya apabila tiba sahaja tahun baru masihi, kita sering memperbaharui azam masing-masing. Apa kata kali ini azam yang sama kita tekadkan lagi semasa ketibaan tahun baru hijrah ini. Malah jika kita tidak pernah langsung berazam sebelum ini pada tahun baru hijrah, maka apa kata kita memulakannya sekarang. Jadikan motto hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari seterusnya lebih baik dari hari-hari sebelumnya sebagai pegangan dan panduan arah hidup kita.


Di samping itu sempena Maal Hijrah tahun ini marilah perkuatkan juga aqidah, syariat dan akhlak kita. Apabila kefahaman menjadi jelas maka iman dan takwa juga akan semakin kukuh. Lebih rapat kita dengan Tuhan Yang Maha Esa maka akan lebih tenang jiwa kita menghadapi kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini.


Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1433!

Thursday, November 24, 2011

Belasungkawa


Hari ini rakan skuad dikejutkan dengan berita pemergian seorang lagi rakan skuad kita iaitu L/Kpl 124129 Amran Bin Ramli. Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 1530 hrs di Hospital Besar Tawau kerana komplikasi jantung semasa menunggu giliran untuk Eksesais Temuduga Kenaikan Pangkat L/Kpl ke Koperal. Allahyarham bertugas sebagai anggota pemandu di Cawangan Pengangkutan, Batalion 14 PGA Tawau.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Puan Zainab Bin Hamid dan 3 orang anak iaitu seorang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan berusia 7, 5 dan 3 tahun. Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 3, Tawau.

Semoga Allah SWT mengampuninya, merahmatinya, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan semua kebaikannya dan menempatkan rohnya di Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin, Shuhada dan Sholihin.

Salam takziah daripada Apa Khabar Skuad? dan rakan-rakan skuad 1/90 kepada isteri dan keluarga Allahyarham. Alfatihah!

Sunday, November 6, 2011

Hari Raya Haji


Apa khabar skuad? Sempena dengan kedatangan Aidiladha pada tahun ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua. Semoga kita semua mendapat berkat dan makfirah daripada hari yang mulia ini.


Aidiladha adalah merupakan perayaan yang istimewa kepada umat Islam kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.


Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Pensyariatan ibadah korban mempunyai falsafahnya yang tersendiri iaitu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah tersebut. Islam sentiasa menganjurkan umatnya untuk berkorban ke jalan Allah tanpa mengira waktu senang atau susahnya. Seseorang itu mestilah sentiasa bersiap sedia untuk berkorban dengan seluruh dirinya dan jiwa raganya sepertimana firman Allah yang bermaksud :


“Berjuanglah kamu dengan harta dan dirimu (jiwa raga ) kejalan Allah, itu yang paling baik untuk kamu kalau kamu mengetahui”

( al-Taubah: 41).


Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk berjihad kepadaNya melalui dua cara iaitu melalui diri dan juga melalui harta. Saranan untuk bekorban adalah untuk mengikis sifat bakhil dan kedekut yang ada pada jiwa seseorang dan melatihnya supaya ikhlas dalam melakukan sesuatu ibadah.


Pada saat ini juga para jemaah Haji Malaysia termasuk YAB Perdana Menteri Malaysia telah berada di padang Arafah untuk mengerjakan ibadah Wukuf. Semoga YAB Perdana Menteri dan semua jemaah Haji Malaysia dapat melakukan Ibadah tersebut dengan sempurna dan dilindungi oleh Allah SWT hendaknya. Sungguh bertuah sekali mereka yang kini menjadi tetamu Allah SWT.


p.s – kita bila lagi skuad?