Tuesday, October 12, 2010

Ke Medan Bakti

Semalam, 11/10/2010, Briged Sabah PGA telah menghantar satu kontinjen yang terdiri dari 136 orang pegawai dan anggota untuk penugasan dalam misi PBB di Timor-Leste. Mereka akan bertugas di bawah panji-panji PBB melalui misi United Nation Integrated Mission in Timor-Leste (UNMIT) untuk tempoh 6 bulan. Penyertaan dalam misi PBB kali ini adalah merupakan penyertaan kali kedua bagi Briged Sabah PGA selepas penugasan kali pertama pada 2008. Beberapa orang rakan skuad kita juga telah turut serta dalam penugasan ini. Mereka yang terlibat adalah :


Sjn 124477 Mohd Adif Bin Abdullah

Kpl 124110 Badrulhisyam Bin Baharuddin

Kpl 124303 Ahmad Fadzly Bin Hassan

Kpl 124367 Mohd Dros Bin Wahari


Bagi rakan skuad kita, Sjn 124477 Mohd Adif, ini adalah penugasan kali kedua dalam misi PBB. Penugasan kali pertama rakan skuad kita ini juga melalui misi yang sama pada 2008.


Pemergian rakan-rakan skuad kita pada pagi yang hening itu telah turut diiringi oleh keluarga yang tercinta. Walaupun terpaksa berjauhan namun tetap tabah jua dihadapi demi menyahut seruan demi pertiwi. Syabas Skuad dan keluarga mereka atas pengorbanan ini.


p.s - Selamat bertugas skuad!


Segak!...Skuad kita Kpl BadrulHisyam Baharuddin

Sjn Mohd Adif dan family....

Kpl Mohd Dros dan family....

Solo je... Kpl Ahmad Fadzly

Ni ha.. antara jurufoto yang sibuk sepanjang latihan Ops UNMIT dijalankan....

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Skuad!


Sedar tak sedar, Ramadhan tahun ini akan melabuhkan tirainya dan esok kita semua akan menyambut 1 Syawal. Alhamdulillah, puasa tahun ni telah berjaya kita lalui. Banyak mana ganjaran puasa yang kita dapat tu.. ntah tak tahulah.. harap-harap moga kita termasuk dalam golongan mereka yang sentiasa diberkati dan dirahmati Yang Maha Esa...


Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya mengambil kesempatan menyusun 10 jari memohon maaf zahir dan batin kepada kengkawan semua especially kengkawan yang selalu melawati blog ini dan juga kepada kengkawan yang masih belum tersiarkan personalitinya dalam blog ini..


Kepada kengkawan yang akan pulang bercuti ke kampung menggunakan kenderaan sendiri, pesan saya silalah periksa dulu kenderaan tu sebelum memulakan perjalanan ya! Bukan apa, takut nanti, niat nak raya kat kampung last-last terpaksa beraya kat jalan raya pulak nanti. Huhuhu.. Dan yang paling penting, berhati-hatilah semasa memandu.


Kepada kengkawan yang tak dapat bercuti raya ni... sabar jer la skuad! Tahun depan mungkin giliran kita pulak kut...


Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Kalau ada duit raya lebih tu, jangan ler lupa kengkawan di sini yer. Hehehe..

Wednesday, September 8, 2010

Salam AidilFitri

Assalamualaikum.... Apa khabar semua teman skuad? Doa dan harapan sentiasa diiringi agar semuanya dalam sejahtera dibawah lindungan Illahi... tidak kira dimana jua berada... dalam apa situasi sekali pun.. samada yang bertugas ataupun bercuti.

Kemaafan jua dipinta kepada semua teman skuad kerana dah agak lama blog apa khabar skuad? tidak di kemaskini.

Bagi pihak admin.. moderator.. bukan niat kami mengabaikan blog apa khabar skuad?... sebetulnya kerana kesibukan tugas.. al-maklumlah... untuk makluman semua teman skuad....seluruh warga Briged Sabah PGA & Batalion 16 PGA telah berpindah lokasi ( Pejabat & Penempatan ) baru.. dari Kepayan ke Kem Kinarut pada 02/08/2010 yang lalu... Insyaallah pihak kami akan paparkan kisah penempatan & penugasan di tempat baru.

Dikesempatan yang ada ini.. gua (Bro Tj"din & Wife) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Lebaran pada 10/09/2010.... Kemaafan jua dipinta atas apa jua kesalahan.... samada disedari ataupun tidak. Semoga Lebaran pada tahun ini akan memberi makna kepada kita semua. Kepada yang tidak bercuti tu... selamat bertugas... setiap pengorbanan sentiasa ada balasan.

p/s:.. Terus memberi sokongan kepada blog apa khabar skuad? Tq

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Al-Mubarak


Barang siapa yang menghayati
kelebihan beribadat di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu..

al-hadith

Saturday, July 31, 2010

Hari Pahlawan

foto ihsan produkkelapa.wordpress.com

Hari ini kita menyambut peringatan hari pahlawan. Iaitu satu hari yang dikhususkan dalam setahun bagi mengenangkan jasa para pahlawan kita. Sambutan peringatan hari pahlawan diadakan supaya kita tidak lupa kepada perjuangan terdahulu pejuang-pejuang tanah air yang sanggup menggadaikan nyawa bagi membela, mempertahankan dan mengangkat maruah negara dan ummah.


Kita tidak akan lupa kepada nama-nama besar seperti Dol Said, Dato' Maharaja Lela, Mat Salleh, Tok Janggut, Leftenan Adnan dan ramai lagi yang gugur demi mempertahankan tanah air tercinta ini.


Persoalannya siapakah yang layak digelar pahlawan? Sesungguhnya pengertian pahlawan tidak hanya mutlak kepada anggota tentera atau anggota pasukan keselamatan sahaja bahkan turut dikongsi bersama mereka-mereka yang mempunyai kesedaran tinggi dan telah melaksanakan tanggungjawab untuk membela agama, bangsa dan negara daripada penjajahan sama ada dari penjajahan fizikal mahupun mental. Dalam konteks kenegaraan pula pahlawan adalah mereka-mereka yang telah diberi amanah oleh negara dan rakyat dan telah berjaya menghindari diri dari terlibat dalam tindakan yang boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara itu sendiri seperti sabotaj, khianat, tidak berintegriti, pecah amanah dan sebagainya.


Janganlah kita lupa keamanan dan keharmonian yang diraih hari ini tidak datang sekelip mata, tetapi disumbangkan oleh titik peluh, air mata dan titisan darah pejuang terdahulu yang telah meletakkan asas kejayaan negara hari ini. Mampukah kita menikmati suasana hari ini tanpa pengorbanan mereka yang terdahulu? Justeru kita sebagai generasi pewaris wajar mengambil iktibar dan teladan di atas semangat juang pejuang-pejuang terdahulu dalam mencapai misi dan visi negara.


Sebagai pewaris negara, kita mestilah sedar bahawa pengorbanan generasi terdahulu cukup berharga. Masa yang diambil cukup panjang dan tenaga yang dikeluarkan cukup banyak. Kini kita tidak perlu lagi mengulangi sejarah penderitaan dan pengorbanan besar pejuang-pejuang terdahulu. Tanggungjawab dan tugas kita kini ialah meneruskan dan memelihara semangat kepahlawanan itu dari pudar akibat hakisan masa dan persekitaran. Terus mempertahankan ideologi yang murni dari jatuh dan menjadikan kita terbelenggu semula di tangan musuh. Gesaan ini selari dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:

Maksudnya: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."


Selamat Menyambut Hari Pahlawan kepada semua rakan skuad!


p.s – Integriti Amalan Kita

Sunday, June 20, 2010

Aktiviti Teman Skuad

Salam ceria buat semua teman-teman skuad.... Semoga semua sihat sejahtera di samping keluarga juga kerjaya. Apa khabar skuad? akan memaparkan serba sedikit aktiviti teman skuad sempena cuti sekolah baru-baru ni.

Memang tiada perancangan awal pun... bila dok kumpul-kumpul dengan kekawan ni, tercetus rasa nak bercamping lak... jadi kami semua setuju la nak camping di Pulau Mamutik, untuk pengetahuan teman skuad... terdapat gugusan pulau Taman Tunku Abdul Rahman terdiri daripada Pulau Gaya, Manukan, Sapi, Mamutik & Sulug sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, cukup menarik untuk dikunjungi serta sesuai untuk aktiviti keluarga.

Perjalanan ke pulau-pulau ini menggunakan perkhidmatan bot yang boleh didapati di Jesselton Point, Sutera Harbour dan Jeti Teluk Villa ( Putatan) dengan kadar yang berpatutan. Rombongan kami menggunakan Jeti Teluk Villa ( kebetulan ada gak kenalan... boleh la runding-runding bah! ). Kepada teman-teman skuad yang berhajat nak ke pulau-pulau sekitar Kota Kinabalu, boleh le jumpa kami..hahahaha. Perjalanan hanya dalam sekitar 30 minit, waktu yang paling sesuai adalah awal pagi sebelum petang la tu.

Seronok jugak tengok gelagat anak-anak yang belum pernah menaiki bot ni... macam kita orang PGA di Sabah ni...kira biasa dah kan. Pedaftaran masuk di Pulau Mamutik, RM 3.00 (dewasa), RM 1.00 ( 7 - 18 Tahun) & RM 5.00 untuk 1 tapak khemah. Tapi, teman-teman skuad kita ni cukup ramah dan berhemah.... dapat potongan harga dan kemudahan lain lagi... kami telah melantik Bro Jefri sebagai perunding dan hasilnya kami semua mendapat layanan yang agak istimewa.TQ Bro Jefri and terimakasih diucapkan kepada staf-staf Taman Sabah.

Lupa lak nak kasi tahu.. rombongan kami terdiri daripada family Bro Baharin, Jefri, Daud and Bro Tj'Din. Kebetulan.. we all dari PULAPOL dan Platun 4 Asas PPH.. Jadi bila dah berkumpul ni, banyak memori-memori lama yang dapat dikongsi. Isteri dan anak jarang dapat berkumpul, dengan aktiviti keluarga begini, dapat le mengeratkan perhubungan..anak-anak yang malu-malu pada mulanya dah dapat menyesuaikan diri, pantang berkumpul..ade saja aktiviti mereka. Siap adakan perlawanan bolasepak dengan pelancong Amerika lagi tu.... Kehangatan World Cup tidak dilupakan...kami pun siap membawa TV lagi...para isteri pun dapat juga mengeluarkan peluh dengan bermain bolatampar dengan anak-anak staf Taman Sabah.

Perancangan asal cuma 1 malam sahaja camping.. tapi dengan pelbagai aktiviti dan melihat keseronokan anak-anak, kaum bapa & ibu bermuafakat untuk camping 2 malam. Kebetulan bekalan makanan pun masih ada..tidak menjadi masalah kan?

Bro Daud & Bro Tj'Din.. memulakan acara wajib.... membakar daging kambing & sayap ayam.

Tengok le aksi teman skuad kita ni bila dah berkumpul.. Bro Baharin, Jefri, Bro Tj'Din & Bro Daud dok membakar sosej and udang.

Panorama matahari terbit... pemandangan dari Pulau Mamutik.. Gunung Kinabalu and Bandaraya Kota Kinabalu

Pelancong mula meninggalkan Jeti Pulau Mamutik bila petang hampir menjelang.

Aktiviti yang paling menarik perhatian anak-anak dan juga pelancong... snorkeling, melihat keindahan dasar laut juga pelbagai jenis ikan .

Bro Tj'Din...Sempat lagi buat iklan Power Root.. teringat masa melancong ke Bali dulu.

Antara gelagat anak-anak skuad apabila berkumpul.... pantai yang bersih menjadi mainan anak-anak... bila malam siap unggun api lagi tu.

Gaya macho teman skuad... Bro Baharin, Bro Jefri, Bro Daud dan Bro Tj'Din ( 20 tahun lalu, Asas 4 PPH ) ..kalau lagi ramai berkumpul, lagi meriah kan.

Wajah kepuasan isteri dan anak-anak skuad sewaktu menaiki bot dari Pulau Mamutik ke Jeti Teluk Villa.


p/s: Hanya coretan untuk dikongsi bersama... kepada teman2 skuad yang ada aktiviti keluarga....bolehlah share dengan teman-teman... email kepada gua... hsdn_bayu@yahoo.com.my .....Insyaallah akan di muaturun kedalam blog....... apa khabar skuad?

Wednesday, June 9, 2010

Kpl 124662 Kahar Bin Mohamad

Hello dan apa khabar skuad? Personaliti skuad kita kali ini adalah seorang lagi teman skuad kita yang telah lama menyepikan diri. Dari risikan dan maklumat teman-teman skuad akhirnya dapat juga kita menjejaki teman skuad kita yang kini sedang bertapa di Bumi Kenyalang. Skuad adalah Kpl 124662 Kahar Bin Mohamad.


Pertama kali saya dihubungi oleh teman skuad kita ni saya ingat skuad dah lupa bahasa ibundanya kerana seingat saya skuad ni adalah orang nogori (lobai).


Skuad telah dilahirkan pada 14 April 1969 di Jalan Lobak, Seremban, Negeri Sembilan dan kemudiannya membesar di No 83, Jalan Selasih 11, Blok B, Kampung Sentosa, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.


Skuad mendapat pendidikan awal di SRK Ampangan dan kemudiannya menyambung pendidikan peringkat menengah di SMK Seri Ampangan.


Skuad merupakan anak ke-3 daripada 10 orang adik beradik di mana 7 orang daripadanya lelaki dan 3 orang perempuan.


Semasa Kursus Asas Konstabel, skuad menganggotai Platun 6, Kompeni A Pulapol di mana menurut skuad Jurulatih Kawadnya adalah P/Kpl 108762 Yusuf Bin Salim manakala Guru Undang-undangnya Kpl 86579 Sadli B. Adnan.


Selepas selesai menjalani kursus asas konstabel, skuad turut serta bersama-sama teman-teman yang lain mengikuti pula Kursus Asas PPH di Ulu Kinta, Perak dan seterusnya menyambung latihan di Markas Latihan Luar, Tupah, Kedah Darul Aman di dalam Platun 1. JL Platun 1 pada masa itu adalah Insp. Ooi Kai Chung manakala Platun Sarjan adalah Sarjan Hassan. Skuad pula telah dilantik menjawat jawatan Tok Penghulu Platun 1.


Selesai menjalani latihan Asas PPH, skuad telah diarahkan melapor diri ke Kompeni C, Bn 17 PPH, Batu Kawa, Kuching, Sarawak. Semasa pengecilan organisasi PPH pada tahun 1994, skuad diserapkan pula ke Bn 11 PPH. Pada tahun 2006, skuad telah bertukar secara pertukaran dalaman ke Cawangan Gerakan, Bn 11 PGA.


Skuad mendapat kemajuan pangkat Lans Koperal pada 01.10.1994 dan kenaikkan pangkat Koperal pada 01.12.2007.


Selepas mendapat kenaikan pangkat Koperal, skuad telah diarah bertukar ke Kompeni B, Bn 11 PGA pada 18.02.2008. Skuad kini menjawat jawatan sebagai Seksyen Komander 3, Platun 6 Kompeni B, Bn 11 PGA ,Kuching, Sarawak.


Skuad mendirikan rumahtangga pada 17 November 1996. Pasangannya Puan Rejamah Bt Bujang yang berasal dari Kampung Hilir, Serian, Sarawak adalah merupakan seorang surirumah.


Hasil perkongsian hidup skuad dan isteri telah dikurniakan Tuhan dengan 3 orang anak iaitu 1 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan. Anak-anak skuad berusia 13, 11 dan 7 tahun bersekolah di SMK Batu Kawa dan SK Garland, Kuching.


Skuad aktif dalam aktiviti sukan terutamanya seni mempertahankan diri. Skuad merupakan ahli Persatuan Karate Do PDRM Sarawak & Sarawak Karate Do Association (SAKA). Penyertaan aktif dan kemahiran skuad dalam sukan Karate-Do terbukti apabila skuad dipilih untuk mewakili Kontijen Sarawak & Briged Sarawak PGA dalam kejohanan Karate Do Piala KPN mulai tahun 1996 sehingga sekarang. Selain menyertai kejohanan, skuad juga adalah merupakan jurulatih Karate Do, T-Baton dan PORU bagi Bn 11 PGA.


Sekiranya ada kelapangan masa, skuad gemar bermain snuker dan ping pong.


Mengakhiri coretannya dalam emel kepada Admin Apa Khabar Skuad? Skuad turut mencoretkan “Syabas dan tahniah di atas penganjuran reunion sempena 20 tahun skuad kita berkhidmat dalam PDRM dan dapat berjumpa kekawan lama. Kepada skuad 1/90 yang bertugas di seluruh Malaysia, kalau nak makan terubok masin, kek lapis dan laksa Sarawak datanglah bercuti di Sarawak. Boleh hubungi saya melalui telefon atau emel saja saya di kaharmohamad@yahoo.com ”


Terima kasih skuad di atas penyertaan skuad di blog skuad kita. Bagi pihak rakan skuad, Apa Khabar Skuad? Mengucapkan selamat maju jaya dan berbahagia selalu bersama keluarga tercinta.


gambar satu platun masa Kursus Asas Konstabel, 20 tahun yang lalu...


gambar satu keluarga...


dengan gaya tersendiri... hehehe.. ada imbas-imbas pelakon veteran Raja Ismail...


gambar terkini skuad...

Sunday, May 30, 2010

Kpl 124038 Hor Chooi Siong

Skuad 1/90 sekali lagi kehilangan seorang lagi rakan skuad. Terkini, skuad kita Kpl 124038 Hor Chooi Siong telah meninggal dunia pada 19 Mei 2010 yang lalu di Hospital Kangar, Perlis akibat diserang stroke.


Tempat tugas terakhir mendiang adalah di Gerakan, JSJ IPK Perlis. Mendiang merupakan bekas anggota Kompeni ‘C’, Pulapah, Negeri Sembilan dan pernah bertugas di Bn 16 PPH Kota Kinabalu, Sabah serta Seksyen Pengesan K9, IPK Kelantan.


Mendiang meninggalkan seorang balu dan 2 orang anak lelaki.


Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang skuad di atas kehilangan ini.

Kpl 124142 Mohammed Asheraf Bin Abu Bakar

Hello Skuad! Apa khabar semua? Diharapkan kengkawan skuad semua dalam keadaan sihat walafiat dan ceria berbahagia selalu bersama keluarga tercinta. Sori la, lama tak buat coretan di blog ni... serba salah, susah nak membahagikan masa antara kerja, keluarga dan nak maintain blog ni... tak tau la sama ada tak ada masa ke atau tak ‘manage’ masa dengan betul... ntah la.. Lega rasanya selepas berjaya menyiapkan dua assignment yang bos suruh sejak sebulan yang lepas tapi tup..tup petang Jumaat lepas, 2nd bos panggil gi pejabat... kasi assignment lain lak..aduh... Tapi apakan daya selagi berkhidmat dalam pasukan ni kena tahan ler... Gitu la agaknya yang kengkawan skuad buat IO dan AIO rasa kut....hehehehe...


Wokay, cukup kut mukadimah tu... so firstly, saya nak mintak berbanyak le maaf kat kengkawan yang menunggu-nunggu giliran untuk dipaparkan profilnya kat blog ni... sori aaaa skuad... gua sibuk ler...nasib baik ler lu worang yang tolong memeriahkan blog kita ni.. iyala kan kalau bukan kita siapa lagi kan... kan.. kan?


Profil kita kali ni... geng skuad kita si Arab! Geng kita ni punya la bagus... hantar kat gua profil dan gambornya siap pakai pos laju lagi... huhuhu tapi gua la yang ‘slack’ kut... tak sempat gua nak memasukkan nyer dalam blog kita ni... sori aaa Arab!


Geng kita, Mohammed Asheraf bin Abu Bakar dilahirkan pada 12 September 1969 di Kuala Lumpur. Anak sulung dari 6 orang adik beradik yang terdiri dari 5 lelaki dan 1 perempuan ini bagaimanapun dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor. Anak kepada pasangan Abu Bakar B. Ahmad dan Aminah Bt Ali ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya dan seterusnya di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, Selangor


Semasa Kursus Asas Konstabel pada 1990, skuad merupakan anggota Platun 13, Kompeni ‘D’, Pulapah, Negeri Sembilan... gua rasa ramai yang masih mengenali skuad kita ni... terutamanya geng-geng satu platun dan kompeni nyer...


Selesai mengikuti kursus Asas PPH di Ulu Kinta, Perak, skuad telah diarah melapor diri di Platun 17, Kompeni E, Bn 16 PPH Kota Kinabalu dan kemudiannya diserapkan pula ke Platun 4, Kompeni B, Bn 16 PPH. Pada bulan Februari 2000, permohonan pertukaran skuad berjaya dan skuad telah melapor diri di Bahagian Logistik, IPK Selangor.


Pada bulan September 2000, skuad telah bertukar pula ke Balai Polis Sg Buloh, Selangor dan bulan Mac 2004, skuad telah diserapkan pula di dalam Unit Tindak Cepat, IPD Petaling Jaya Selangor. Seperti kata pepatah, bagai sirih pulang ke gagang, begitulah juga dengan skuad kita apabila pada bulan April 2004, skuad telah kembali bertugas sebagai seorang anggota PGA di Bn 5 PGA, Simpang Renggam, Johor Darul Takzim sehinggalah kini.


Skuad mendapat kemajuan kepangkat L/Kpl pada 1 Mei 1994 manakala kenaikan pangkat Koperal pula pada 1 Mei 2008. Perjawatan skuad sekarang adalah sebagai Seksyen Komander 2, Platun 6, Kompeni ‘B’ Bn 5 PGA.


Skuad telah mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya iaitu Puan Rina Timang Bt. Abdullah. Hasil perkongsian hidup, skuad dan isteri telah dikurniakan Tuhan dengan seorang cahayamata yang kini berusia 1 tahun 8 bulan.


Semasa ditanya mengenai hobi nyer, skuad menyatakan minat sukan bermotor dan mengembara...


Pengalaman dalam tugas... hmmm skuad semua bleh tengok sendirilah dalam keratan akhbar yang dipaparkan kat bawah nun...


Tq skuad... dan profil skuad seterusnya..... hehehe... sabar... sabar!


gambar semasa berusia 1 tahun 2 bulan 15 hari...

bergambar bersama ayahanda dan bonda...


bergambar bersama pengetua SMK La Salle, Petaling Jaya ... Rev. Br. Felix

gaya Yussuf Haslam...

gambar kad kuasa polis... dulu-dulu..

Platun 13, Kompeni D Pulapah..

gambar time operasi kat Sabah...

keratan akhbar berkaitan kejayaan skuad...

surat penghargaan...

gambar terkini skuad...


Saturday, May 29, 2010

Pesta Kaamatan & Hari Gawai

Apa Khabar Skuad? Sentiasa mendoakan kesejahteraan teman-teman skuad semua.. tidak kira di mana berada dan dalam situasi apa pun jua.

Dalam kesempatan yang ada ini....Kami dari pihak Apa Khabar Skuad? .... mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan & Hari Gawai bagi seluruh warga Sabah & Sarawak.

Pesta Kaamatan atau nama lain 'Tadau Kaamatan' atau di dalam bahasa Kadazan 'Magavau' merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati 'Bambazon' iaitu semangat padi. Perayaan Magavau ini biasa diadakan selepas selesai menuai padi dan kini disambut setiap 30 & 31 Mei setiap tahun.

Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Kolonial sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Hj Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah pertama. Perayaan ini adalah amalan tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman dan kini di sambut oleh pelbagai etnik di Sabah.

Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau, dengan memakai pakaian tadisional mereka. Tarian dimainkan dengan iringan paluan gong. Selain itu ada juga pertandingan nyayian dipanggil Sugandoi.. pertunjukan bina badan dan ratu cantik atau 'Unduk Ngadau' dan persembahan pelbagai kesenian dan kraftangan. Pertandingan memukul gong dan sukan rakyat menjadi acara utama dalam perayaan ini.

Antara acara popular semasa perayaan ini adalah meminum tapai atau 'Kinomol'. Tapai diperbuat daripada beras (nasi) atau ubi kayu yang diperam di dalam tempayan besar atau tajau, ini merupakan minuman tradisi mereka.

Gambar Hiasan

Tarian Sumazau

Pertandingan Unduk Ngadau


Hari Gawai pula secara umumnya merujuk kepada beberapa perayaan di Sarawak, tetapi pada kebiasaannya merujuk kepada pesta menuai Gawai Dayak yang disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai ini juga dikenali sebagai Gawai Dayak yang kebiasaannya disambut pada 01 & 02 Jun setiap tahun.

Jenis-jenis Gawai lain termasuk Gawai Burung (berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik ), Gawai Batu (pemulaan musim menanam padi), Gawai Kenyalang, Gawai Mangkung Tiang, Gawai Manang dan Gawai Antu (Perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Antara yang paling penting adalah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu.

Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di desa-desa dan di bandar dengan persembahan tarian, meminum tuak (arak beras) dan bersuka ria. Pesta Gawai di Sarawak disambut secara besar-besaran semenjak 1964.

Gambar Hiasan

Tarian Tradisi Sarawak


p/s: Apa Khabar Skuad? ....Mohon Maaf andai kekurangan fakta.....