Monday, January 24, 2011

L/Kpl 124316 Masiun @ Siun Bin Kibing

L/Kpl 124316 Masiun telah dilahirkan pada 15/12/1969 di Kg Dalas, Pitas, Sabah. Anak sulung dari 3 orang adik-beradik ini adalah dari suku kaum Rungus iaitu salah satu dari lebih kurang 32 suku kaum peribumi yang terdapat di negeri Sabah.


Sejurus melapor diri di PULAPAH, Ayer Hitam Negeri Sembilan, skuad telah ditempatkan di dalam Platun 18 Kompeni ‘E’. Selesai menjalani Kursus Asas Konstabel, skuad telah mengikuti pula Kursus Asas PPH di Sekolah Latihan PPH Ulu Kinta, Perak dalam Platun 15. Skuad kemudiannya diarah melapor diri di Kompeni ‘C’ Bn 16 PPH Kota Kinabalu selepas menamatkan Kursus Asas PPH dengan jayanya.


Mendapat kemajuan pangkat L/Kpl pada 1994, skuad kini merupakan ‘orang lama’ dalam platunnya. Skuad merupakan antara keanggotaan asal Platun 12, Kompeni ‘C’ Bn 16 PGA yang beribu pejabat di Kudat, Sabah sebelum platun tersebut dibubarkan selepas pengecilan organisasi PPH pada awal 90-an. Perjawatan skuad kini adalah sebagai Bren Komander Seksyen 1, Platun 9, Kompeni ‘C’ Bn 16 PGA.


Skuad meminati sukan bola sepak dan gemar bermain dalam posisi pertahanan. Skuad juga sentiasa mengikuti perkembangan sukan bola sepak dalam dan luar negara serta merupakan penyokong setia Kelab Manchester United. Idolanya adalah pemain ‘attacking midfielder’ MU yang berasal dari Brazil iaitu Anderson Luis de Abreu Oliveira.


Selain bola sepak, skuad juga meminati sukan ping pong.


Sewaktu ada kelapangan, skuad sering terlibat dalam aktiviti ‘Mock Diving’. Sering kali ada ‘hasil’ yang dibawa pulang selepas aktiviti tersebut dijalankan dan skuad tidak lokek untuk berkongsi hasil tangkapannya dengan jiran dan rakan-rakan sekiranya hasil tangkapannya lumayan.

Skuad mendirikan rumah tangga pada 19/02/1987 dengan pasangannya Puan Haily Bin Ibing. Isteri skuad berasal dari Kg. Longgom Kecil, Kudat adalah merupakan seorang usahawanis yang mengusahakan sendiri sebuah kedai menjahit pakaian. Hasil perkongsian hidup skuad dan isterinya telah dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata iaitu 2 orang anak lelaki dan 1 orang anak perempuan. Oleh sebab melangsungkan perkahwinan dalam usia yang agak muda, semua anak-anak skuad kini telah pun dewasa. Anak-anak lelaki skuad kini telah pun bekerja manakala anak bongsunya (perempuan) masih menuntut di salah sebuah universiti di Semenanjung Malaysia.


Sepanjang kerjaya dalam pasukan, skuad banyak terlibat dalam pelbagai penugasan dan operasi. Antara pengalaman tugasnya, skuad pernah terlibat menyertai misi pengaman PBB pada 2008 dalam misi UNMIT PDRM ke Republik Demokratik Timor-Leste. Sepanjang 6 bulan penugasan, skuad telah berjaya membuktikan kepada teman-teman dan pegawai atasannya bahawa skuad adalah seorang yang komited terhadap tugas dan berkeupayaan bekerjasama dalam satu pasukan. Skuad berjaya membuktikan bahawa biarpun terpaksa berjauhan dalam tempoh yang agak panjang dengan keluarga selain bertugas dalam situasi yang sering kali mengancam keselamatan diri dan mencabar emosi, skuad berjaya mengekalkan mutu kerja yang tinggi. Wokay skuad, Apa Khabar Skuad? mengucapkan syabas dan terima kasih di atas kerjasama yang telah skuad berikan.


Monday, January 10, 2011

Insp Afizuddin Bin Mohamad Ayop (RF 124499)

Apa khabar skuad? Lama benar dah tak menulis mengenai teman-teman skuad di laman ini so kali ini sebagai pembuka bicara di tahun baru 2011, saya akan mengetengahkan biodata seorang lagi teman skuad kita. Teman skuad yang dimaksudkan adalah Insp Afizuddin Bin Mohamad Ayop (RF 124499).


Skuad telah dilahirkan pada 15/04/1969 di Kroh, Perak dan dibesarkan di Merbok, Kedah Darul Aman. Mendapat pendidikan sehingga tingkatan Enam dan sebaik menamatkan zaman persekolahan, skuad terus memohon jawatan Konstabel pada tahun 1989.


Sejurus keputusan pengambilan dikeluarkan, skuad telah diarah melapor diri untuk mengikuti latihan asas Kepolisan di Pulapah Ayer Hitam Negeri Sembilan pada 07/01/1990.


Selesai menjalani Kursus Asas Konstabel, skuad mengikuti pula Kursus Asas PPH di SLPPH ULU Kinta, Perak. Skuad merupakan anggota Platun 17.


Pada Disember 1990, skuad telah ditugaskan di Platun 12, Kompeni C Kota Kinabalu, Sabah. Skuad turut serta berpindah ke Kudat, Sabah ekoran perpindahan Kompeni C Bn 16 PPH dari Kota Kinabalu ke Kudat pada pertengahan tahun 1991. Pada tahun 1993, skuad telah mengikuti Kursus Pra Pengesahan di PLP Bukit Siol Kuching Sarawak.


Berikutan pengecilan organisasi PPH pada tahun 1994, skuad telah diarahkan bertukar ke Batalion 14 PPH Tawau, Sabah. Pada tahun 1995, permohonan pertukaran skuad telah diluluskan dan skuad telah bertukar balik ke Semenanjung dan bertugas di Bukit Aman.


Pada tahun 1998, setelah mengikuti kursus peralihan Detektif, skuad telah bertugas sebagai L/Kpl Detektif di bahagian D5 selama 3 bulan sebelum bertukar ke Bahagian Operasi Khas (D8), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.


Pada tahun 2007, skuad telah dinaikkan pangkat ke pangkat Koperal.


Berikutan permohonan skuad untuk mengikuti KPSL diluluskan, pada Jun 2008, skuad telah mengikuti pula Kursus Asas Inspektor. Sejurus menamatkan latihan pada 08/12/2008, skuad telah diarahkan untuk bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di IPD Sentul Kuala Lumpur. Oleh kerana kepentingan tugas pada bulan November 2010, skuad telah diarahkan untuk bertukar sebagai Insp Unit Intipan 2 Bahagian Operasi Khas (D8) di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kekal sehingga kini.


Skuad mendirikan rumahtangga dengan teman sekampungnya iaitu Junaida Bt. Abdullah yang bertugas sebagai kerani di Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Putrajaya. Hasil perkongsian hidup skuad dan isteri telah kurniakan tuhan dengan dua orang putera Aliff Ashraf (17 thn) dan Aliff Imran (12 thn) serta seorang puteri Aisyah Umairah (9 thn).


p.s – terima kasih skuad di atas penyertaan skuad di ruangan ini.


Bergambar bersama teman-teman Platun 17 di Ulu Kinta..

Bergambar di IPD Pasir Putih semasa Pilihanraya Tahun 1990..

Gambar semasa Kursus CQB di Bukit Aman


Friday, January 7, 2011

Selamat Ulang Tahun


Hello, apa khabar skuad? Hari ini genaplah 21 tahun perkhidmatan kita dalam PDRM. Juga bermakna telah genap 21 tahun kita berada bersama dalam satu pasukan. Moga kita akan terus bersama-sama hingga ke penghujungnya. Semalam sepertikan baru sekejap benar berlalu, skuad. Masih terasa baru lagi kita melangkah masuk ke gerbang depoh latihan. Mengharungi suka dan duka. Awan mendung, hujan ribut serta terik mentari.

21 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Rata-ratanya kesemua dari kita telah menghabiskan sebahagian dari usia kita dalam pasukan yang kita cintai. Rambut yang dulunya hitam dan lebat kini semakin hari semakin bertukar putih dan berkurang. Tubuh yang dulunya gagah perkasa kini semakin hari semakin lemah dan mula menghadapi pelbagai komplikasi. Baki tempoh perkhidmatan, rata-rata kita hanya tinggal 15 ke 16 tahun saja lagi. Baki usia yang tinggal ntah siapa yang tahu. Maha mengetahui Allah yang Esa.

Dari sejumlah besar kita yang bergelar Skuad 1/90, syukur ramai yang masih lagi meneruskan perjuangan suci ini. Ramai yang telah mengundurkan diri dan ramai juga yang telah pergi buat selamanya menyahut panggilan Ilahi. Ucapan syukur kepada Allah yang Esa di atas apa yang telah dikurniakan dan dipanjatkan doa buat mereka yang telah tiada.

Akhir kata dari Apa Khabar Skuad? Jaga diri, jaga famili dan jaga institusi yang kita cintai ini. Moga Allah SWT sentiasa memberkati kita semua dan memberikan kita kesudahan yang baik. Amin!

p.s – selamat menyambut ulang tahun ke 21, skuad!

Thursday, January 6, 2011

Majlis Tahlil

Sebagaimana yang telah disepakati, selepas solat Maghrib bertempat di Masjid Kem PGA Kinarut telah diadakan majlis tahlil dan bacaan surah Yassin. Jumlah kehadiran rakan skuad agak menggalakkan walaupun dengan kesibukan tugas masing-masing dan kebetulan juga hujan turun dengan lebatnya. Antara jemputan yang hadir dalam majlis ini adalah YDH SAC Ahmad Marzuki B. Mohd Saad (Komander Briged Sabah PGA) Supt Bachok B. Labaya (Peg. Pemerintah Bn. 16 PGA) DSP Ab Rashid B. Abdullah (Ajutan Briged Sabah PGA), ASP Low Wee Chong, ASP Nor Ridzuan B. Daud, Insp Mohd Nazlan B. Hambali dan SI Bajok Saganate. Selain jemaah masjid, adik-adik rekrut baru dari PULAPOL Kuching yang baru melapor diri di Briged Sabah PGA juga turut hadir memeriahkan lagi majlis.

Majlis tahlil dan bacaan Surah Yassin telah dibimbing oleh Ustaz (Insp) Ku Azam dan Ustaz Anuar Samad.

Bagi pihak rakan Skuad 1/90 Kota Kinabalu, Apa Khabar Skuad? mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pegawai dan anggota Briged Sabah PGA di atas sokongan dan kerjasama semua dalam menjayakan majlis ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Ajutan Briged Sabah PGA yang telah memberikan sumbangan peribadi bagi menambah modal penyediaan juadah pada malam ini.

Ucapan alu-aluan dari Bro Rizal selaku Pengerusi Majlis

Antara rakan skuad yang hadir

Pak Usu dan Abang Jef...

Bro Rehan... tenung apa tu?

Bro Azahar dan Bro Roslih

Bro Kadir

Menadah tangan memohon doa kepada Allah Yang Esa...

YDH Komander Briged Sabah PGA, Ustaz Ku Azam dan Ustaz Anuar

Aik Yop... macam baru lepas akad nikah jer...

antara yang baru dan lama...

Jemaah yang hadir...

Bro Jefry Rashidi, Sazari dan Azahar

Pak Usu Jamil

YDH Komander Briged Sabah PGA

5 orang Yop...

Ajutan Briged Sabah PGA

Bro Kadir, Kamal, Hanif dan Jefry Rashidi

Bro Ah Seng, Tok Moh dan Hassan..

Bergambar beramai-ramai selepas selesai majlis Tahlil dan bacaan surah Yassin..

Aik.. macam marah jer tu... kenapa, nasi tak cukup ker?

Tambah lagi bos!

Ni la yang dikatakan sehati sejiwa... Makan pun sepinggan beb!

Tu dia tak cukup pinggan, hang balun pakai kotak pulak...

Sempat lagi bergambar beramai-ramai sekali lagi...

makan bro, jangan tak makan...

Ni nak habaq... Mamu, awatnya... takkan awai lagi dah ngantuk kut!

Tuesday, January 4, 2011

Berita Skuad

Apa Khabar Skuad? Ucapan salam sejahtera.... salam 1Skuad buat semua teman-teman skuad 1/90.... Semoga kesejahteraan sentiasa dilimpahi kepada semua tidak kira di mana jua berada dan dalam apa situasi sekalipun.

Sedar tak sedar 3 hari lagi (07/01/2011) genaplah 21 tahun usia skuad 1/90 dalam perkhidmatan PDRM. Sudah pasti pelbagai pengalaman pahit manis sebagai warga PDRM telah kita harungi bersama. Apakah cukup pengalaman yang kita ada? Apakah bekalan dan persediaan untuk kita menghadapi penugasan, cabaran dan dugaan yang akan mendatang?

Ada di kalangan rakan-rakan kita yang berjaya.. ada yang biasa-biasa saja dan ada juga yang telah pergi untuk selamanya mengadap Allah SWT, Pencipta seluruh umat dan segala isi alam. Adakah kita pernah bermuhasabah diri? Di mana kedudukan kita sekarang dan di manakah akan kita tujui?

Sempena ulangtahun yang ke-21 pada 07/01/2011 nanti... Rakan-rakan skuad 1/90 di sekitar Kota Kinabalu, Sabah telah mengambil pendekatan untuk mengadakan Majlis Tahlil dan Bacaan Surah Yasin sebagai acara sambutan bagi tahun ini. Perjumpaan awal telah diadakan pada 26/12/2010 manakala perbincangan kali kedua pula telah diadakan pada 02/01/2011 yang lalu. Kesepakatan ini telah diambil dengan daya usaha semua teman-teman skuad yang masih berkhidmat di Negeri di Bawah Bayu.

Antara teman-teman skuad yang menghadirkan diri pada perjumpaan awal

Nampak serius teman skuad kita ni berdiskusi

Kesepakatan telah diambil...ada lagi teman skuad yang pening nampak tu.. relax la bro

Kem baru PGA di Kinarut, Papar.

Masjid PGA Kinarut... lokasi majlis akan berlangsung

Tujuan utama majlis ini diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran serta mendoakan kesejahteraan semua rakan skuad dan keluarga samada yang masih hidup ataupun yang telah pergi untuk selamanya. Di samping itu ianya merupakan tanda ikhlas persahabatan serta bagi mengeratkan silaturrahim sesama rakan skuad.

Sempena Majlis Tahlil dan Bacaan Surah Yasin yang akan diadakan nanti... Apa Khabar Skuad? bagi pihak AJK Penganjur, menjemput seluruh rakan-rakan skuad samada berugama Islam ataupun tidak yang berada di sekitar Kota Kinabalu mahupun di mana juga anda berada untuk sama-sama menjayakan Majlis pada ketetapan seperti berikut:

Tarikh : 06/01/2011 ( Khamis )
Masa : 1800 Hrs ( Solat Maghrib dan meneruskan Majlis )
Tempat : Masjid PGA Kinarut, Papar.
Pakaian : Berbaju Melayu dan bersampin

p/s: Apa Khabar Skuad? .... Ribuan terima kasih kepada teman-teman skuad yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak bagi merealisasikan majlis ini.

Friday, December 31, 2010

Selamat Tahun Baru

Mount Kinabalu At Dawn by Wazari

Apa Khabar Skuad?. Tahun 2010 bakal melabuhkan tirainya. Dalam melangkah ke tahun baru 2011 ini, kita haruslah menoleh sejenak ke belakang. Menilai dan bermuhasabah diri. Merenung kembali apakah kekurangan dan mungkin juga kesilapan yang harus diperbaiki. Semoga dengan cara itu kita dapat membuat perancangan yang lebih mantap, meningkatkan prestasi bagi mencapai misi dan visi yang telah dirancang.


Akhir kata, dalam merangka dan mempersiapkan diri untuk melaksanakan agenda seterusnya di tahun baru, kejayaan serta pengalaman lepas seharusnya dijadikan ukuran dan pengajaran agar kita menjadi lebih baik dari sebelumnya.


Masa yang berlalu jadi sejarah, hari ini hanyalah goresan, hari esok menjadi harapan. Catatan kehidupan, kisah suka dan duka, menyongsong tahun baru yang bakal menjelma. Apa Khabar Skuad? Mengucapkan selamat tahun baru 2011 kepada semua rakan skuad dan pengunjung blog ini.


p.s - Semoga anda lebih maju dan sukses pada tahun 2011 ini.

Saturday, December 25, 2010

Merry Christmas


Kesejahteraan dan perpaduan sewajarnya dihargai dan terus dipelihara kerana biarpun hidup berbilang kaum dengan perbezaan agama dan budaya tetapi persefahaman tetap terjalin dengan amalan hormat-menghormati antara satu sama lain.


Menerusi konsep masyarakat Malaysia adalah satu keistimewaan bilamana keakraban, persefahaman dan kebersamaan untuk mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara terus dijadikan sandaran untuk menghadapi segala rintangan dan halangan.


Lantaran itu, atas semangat bersama, Apa Khabar Skuad? mengucapkan selamat menyambut Hari Natal dan selamat bercuti kepada semua rakan-rakan skuad yang berugama Kristian serta semua pengunjung ruangan blog ini.


Merry Christmas & Happy New Year!

Friday, December 24, 2010

Berita Skuad

Kenangan lalu........skuad

Apa khabar skuad? Mengucapkan salam sejahtera buat semua teman skuad.. semoga riang ceria selalu disamping keluarga juga tugasan.

Buat teman-teman skuad di sekitar KK... Bro Macha, Jhon Roni, Lan77, Ramli, Norsham, Mang, Ustaz, Daud, Aseng, Acong, Jefri, Bedin, Tok Moh, Yus, Dollah, Belatok, Ku Azam, Hassan, Azahar, Amran, Pak Ngah, Raihan, Om, Aziz, Bahrin, Wak Samsuri, Rosdan, Shadan, Man Taji dll yang tak sempat nak umum... ( minta maaf la yer )... kita akan mengadakan pertemuan awal untuk membincangkan agenda pada 07/01/2011 di ketetapan seperti berikut :

Date: 26/12/2010
Time: 1700 Hrs
Location: Maimunah ( Port Lama )

Apa khabar skuad? Mengharapkan kepada semua teman skuad yang terlibat dan semua yang berada di sekitar jajahan KK dapat menghadirkan diri atas kelapangan dan kerelaan diri.

p/s: Apa khabar skuad? Merakamkan ribuan terima kasih atas kerjasama teman skuad..

Tuesday, December 14, 2010

Al-Fatihah

Gambar hiasan

Apa khabar skuad? Mengucapkan salam sejahtera buat semua teman skuad... semoga tenang ceria dalam apa jua situasi.. cekal dan sentiasa tabah dalam mengharungi apa jua dugaan kehidupan.

Untuk makluman teman skuad... pada pagi tadi 14/12/2010@0903Hrs... Saya telah menerima SMS ( berita sedih ) dari teman skuad kita Sjn 123932 Ahmad Sallehuddin B Abdullah yang kini betugas di IPK Pahang.... lebih dikenali dalam blog skuadkita dengan panggilan matdin... Beliau telah memaklumkan bahawa isterinya yang tercinta telah kembali kerahmatullah pada 12/12/2010 kerana mengalami sakit dalam perut selepas keguguran dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kg.Jambu Bongkok.

'DariNya kita datang dan kepadaNya kita kembali'... Semoga roh isteri sdr matdin ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman..... Apa khabar skuad? juga mengharapkan agar sdr matdin dan seluruh keluarga sentiasa tabah menghadapi ketentuan Illahi.. Amin.

Al-Fatihah.

p/s: Apa khabar skuad? mengucapkan jutaan terima kasih atas infomasi sdr matdin.

Saturday, December 4, 2010

Persidangan Agung Bersama PPKP/CPW, PPKP/CI Dan PPRPD 2010/2011

Majlis Perasmian persidanagn tiga persatuan PDRM oleh YDH IG
Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar

Bro Tj'Din dan perwakilan PPRPD Briged Sabah PGA / Kontinjen Sabah
bergambar bersama Presiden PPRPD Pusat SI Jamal


Apa khabar skuad? Mengucapkan Salam Sejahtera buat semua teman skuad.. tidak kira dimana berada dan dalam apa situasi sekali pun... Selamat bertugas..... selamat bercuti... Semoga selamat dalam kehidupan sebagai warga PDRM.

Apa khabar skuad? Pada kali ini akan mencoretkan serba ringkas rumusan dan pencapaian Persidangan Agung Bersama PPKP/CW, PPKP/CI dan PPRPD Sessi 2010/2011 di KL International Hotel pada 22-24/11/2010.

Persidangan Agung Bersama PPKP/CW, PPKP/CI dan PPRPD Sessi 2010/2011 ini telah dirasmikan oleh YDH IG Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar. Semasa Majlis Perasmian YDH IG telah menyampaikan amanat kepada seluruh warga PDRM. YDH IG merakamkan ucapan terima kasih dan amat berbanggga dengan komitmen, sokongan dan kerjasama serta taat setia yang telah ditunjukkan oleh semua peringkat pegawai kanan dan pegawai pangkat rendah.

Beliau mengharapkan seluruh anggota PDRM berpandangan jauh dan sentiasa berusaha mempertingkatkan komitmen dan berkhidmat dengan lebih cemerlang, melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta elakkan sikap mementing diri sendiri dan hendaklah mengutamakan kepentingan masyarakat. YDH IG juga mengharapkan konsep 4P ( Protective, Perfomance and Outcome Oriented, Proactive dan People Orreinted ) yang dipekenalkan oleh pucuk pimpinan dapat difahami dan dilaksanakan oleh semua peringkat anggota PDRM.

Antara lain YDH IG juga mengharapkan semua peringkat warga PDRM dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan profesional dan berpengetahuan, sentiasa memupuk semangat kerjasama berpasukan (Teamwork), kepimpinan melalui tauladan serta menghapuskan budaya tikam menikam didalam pasukan.

Pada dasarnya YDH IG telah bersetuju dengan cadangan dari Presiden PPRPD Pusat SI Jamal agar semua warga PDRM membuat sumbangan melalui potongan gaji RM 2.00 bagi membantu pegawai / anggota di Kontinjen Kedah dan Perlis yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini untuk meringankan beban atas kerosakan harta benda.

Pertama kalinya YDH IG telah mengambil pendekatan berbeza dengan mengadakan Majlis Dialog Tertutup dengan semua perwakilan PPRPD. Antara isu yang di bangkitkan dan ke pengetahuan YDH IG adalah melaksanakan Gerakan Perang Saraf ( GPS ) bagi memberi kefahaman kepada semua lapisan anggota mengenai hala tuju PDRM serta merangsangkan semangat kerja berpasukan dan dapat membentuk semangat sayangkan kerjaya. Mencadangkan pasukan membekalkan songkok sebagai 'Store Item' secara individu kepada semua anggota PDRM selaras dengan kehendak pucuk pimpinan, 'PDRM mendekati masyarakat dengan aktiviti keagamaan'.

Antara isu lain yang di bawa kepengetahuan YDH IG, Menyelaraskan kadar bayaran makan tugas NKRA disemua Kontinjen terlibat, Keperluan baju Vest dan motorsikal untuk tugas rondaan, Perbezaan kadar elaun lojing / harian PGA dengan anggota Tugas Am bedasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil.12 Tahun 1974 dapat dibuat kajian supaya pekeliling tersebut dapat dipinda atau dibatalkan. YDG IG telah memberi jaminan akan membuat perubahan dalam PDRM serta mendengar dan mengambil tindakan atas semua saranan dan pandangan semua peringkat. Beliau juga bersedia mengadakan perjumpaan dengan PPRPD bagi membincangkan masalah dan isu semasa, beliau sendiri mahukan Presiden PPRPD Pusat mengadakan perjumpaan dengan beliau sekali dalam sebulan.

Antara isu dan usul dalam persidangan PPRPD ialah, menghidupkan budaya kerja murni oleh PDRM, Menyalurkan bantuan / sumbanagan KKSPDRM secara terus kepada IPD / Batalion / Cawangan, Menubuhkan Universiti PDRM, Penolakan pengambilan bekas anggota tentera untuk diambil berkhidmat dalam PDRM dan Sejarah perjuangan PDRM sebagai mata pelajaran untuk pelatih konstabel di semua PULAPOL. Semua perkara yang dibahaskan akan diputuskan ole barisan Exco PPRPD.

P/S: Apa khabar skuad? Memohon maaf atas kelewatan maklumat... Ini adalah sekadar sebahagian dari maklumat yang dapat kita kongsi bersama.