Apa khabar skuad? Esok umat Islam di Malaysia akan mula menjalani ibadah puasa. Sepertimana umat Islam lainnya, rakan-rakan skuad kita yang berugama Islam juga turut sama menjalani rukun Islam ke-4 ini. Sebagai pembuka bicara Ramadhan ini, berikut disampaikan sebuah hadis untuk renungan kita semua:
Imam Ahmad dan al‐Nasai telah meriwayatkan sebuah hadis dengan isnad yang sahih daripada Abu Hurairah r.a. Beliau telah berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
“Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah SWT telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak bertemu dengannya ia sangat rugi.”
Ibn Rejab telah berkata : Hadis ini pada asalnya ialah sebagai ucapan tahniah kepada manusia dengan kedatangan Ramadhan. Bagaimana orang beriman tidak mendapat berita gembira dengan terbukanya pintu syurga? Dan bagaimana orang berdosa tidak mendapat berita gembira dengan tertutupnya pintu neraka? Bagaimana pula orang yang berakal tidak mendapat berita gembira dengan terbelenggunya segala syaitan?
Walaupun dalam keadaan berlapar dan dahaga serta perit dipanah terik mentari, skuad bersama-sama rakan-rakan seperjuangan lainnya tetap tabah untuk melaksanakan perintah Tuhan yang Esa. Tak kira di mana ditugaskan, samada di simpang-simpang jalan, kota ataupun desa, di samudera, di awan biru atau di pulau-pulau perbatasan negara, tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia tetap jua ditunaikan. Bersabarlah skuad kerana pengorbanan ini ada ganjarannya!
p.s - Apa Khabar Skuad? mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua rakan skuad yang berugama Islam.
No comments:
Post a Comment