Saturday, July 31, 2010

Hari Pahlawan

foto ihsan produkkelapa.wordpress.com

Hari ini kita menyambut peringatan hari pahlawan. Iaitu satu hari yang dikhususkan dalam setahun bagi mengenangkan jasa para pahlawan kita. Sambutan peringatan hari pahlawan diadakan supaya kita tidak lupa kepada perjuangan terdahulu pejuang-pejuang tanah air yang sanggup menggadaikan nyawa bagi membela, mempertahankan dan mengangkat maruah negara dan ummah.


Kita tidak akan lupa kepada nama-nama besar seperti Dol Said, Dato' Maharaja Lela, Mat Salleh, Tok Janggut, Leftenan Adnan dan ramai lagi yang gugur demi mempertahankan tanah air tercinta ini.


Persoalannya siapakah yang layak digelar pahlawan? Sesungguhnya pengertian pahlawan tidak hanya mutlak kepada anggota tentera atau anggota pasukan keselamatan sahaja bahkan turut dikongsi bersama mereka-mereka yang mempunyai kesedaran tinggi dan telah melaksanakan tanggungjawab untuk membela agama, bangsa dan negara daripada penjajahan sama ada dari penjajahan fizikal mahupun mental. Dalam konteks kenegaraan pula pahlawan adalah mereka-mereka yang telah diberi amanah oleh negara dan rakyat dan telah berjaya menghindari diri dari terlibat dalam tindakan yang boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara itu sendiri seperti sabotaj, khianat, tidak berintegriti, pecah amanah dan sebagainya.


Janganlah kita lupa keamanan dan keharmonian yang diraih hari ini tidak datang sekelip mata, tetapi disumbangkan oleh titik peluh, air mata dan titisan darah pejuang terdahulu yang telah meletakkan asas kejayaan negara hari ini. Mampukah kita menikmati suasana hari ini tanpa pengorbanan mereka yang terdahulu? Justeru kita sebagai generasi pewaris wajar mengambil iktibar dan teladan di atas semangat juang pejuang-pejuang terdahulu dalam mencapai misi dan visi negara.


Sebagai pewaris negara, kita mestilah sedar bahawa pengorbanan generasi terdahulu cukup berharga. Masa yang diambil cukup panjang dan tenaga yang dikeluarkan cukup banyak. Kini kita tidak perlu lagi mengulangi sejarah penderitaan dan pengorbanan besar pejuang-pejuang terdahulu. Tanggungjawab dan tugas kita kini ialah meneruskan dan memelihara semangat kepahlawanan itu dari pudar akibat hakisan masa dan persekitaran. Terus mempertahankan ideologi yang murni dari jatuh dan menjadikan kita terbelenggu semula di tangan musuh. Gesaan ini selari dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:

Maksudnya: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."


Selamat Menyambut Hari Pahlawan kepada semua rakan skuad!


p.s – Integriti Amalan Kita