Tuesday, June 30, 2009

Buat lawak jer....

selamat berpesta...

foto oleh 2121studio.com

Alo skuad, apa kabor semua… sori ar dalam 2 – 3 ari ni macam takder modal jer nak tulis... nasib baik ler ader bro skuad kita Din Perlis, Syed Hamid, Dzeel, Dzulkarnain, Mat Din, Mkk792, majid4084, shaharudin dan sabri tolong meriahkan dan menghidupkan suasana... kalau tidak... sepi gak ler kiter..


Kepada semua yang dinyatakan di atas tadi, terima kasih bro atas sokongan padu skuad tu... kepada skuad yang lain yang masuk ke laman blog ni secara ’anonymous’ pun diucapkan terima kasih gak... cumanyer kalau boleh, perkenalkan diri dan kalau sudi berilah sumbangan anda....


Oleh kerane ambo takdok modal aper nak tulis so ari ni ambo nok buak ceghiter lawak ler pulok … ceghitanyer gini....


Ader satu keluarga, oghang Teganu duk Key Ell nak balik cuti hujung minggu. Ader ler tujuh oghang sumer anok beranok nyer. Dah tu nok naik kete kancil jer… so emak nyer pong berkata ler kat ayoh nyer….


Emak : Guane nih.. penuh kete. Dok muak ayoh mu wey!
Bapak : Betul jugok. Guane nok buak nih? Lamo dok sapa kampong.
Emak : Tujuh oghang dokleh sumbak masuk kete kancil nih… kecik do'oh.

Jadi deme pong berpikir dan berpikir dan berpikir macam maner nok bagi ruang kat dalam kete tu….. Tiba-tiba, anok nyer yang bungsu bersorak…. Rupanyer dia pong dok pikir juger masalah mak abah nyer...

Anak : Abah, umi... Awe tau doh guane nok buak. Kite skarang ade tujuh oghang. Tamboh la soghang lagi… baru jadik 'LAPANG'...!!!


Ternganga la mulut emak dan abahnyer seketika….


p.s -
sori le oghang Teganu ambo buak lawak sikit... hehehe!!!

Saturday, June 27, 2009

Renung Sejenak


Mutiara Kata

Hiasilah kehidupan ini dengan gurau senda kerana ia melambangkan kehidupan yang harmoni.

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia ibarat pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Jangan jadikan diri anda ibarat sekumpulan tisu-tisu kerana tugasnya adalah untuk mengesat benda-benda yang kotor.

Jika bersahabat bersiaplah untuk berkorban demi sahabat anda tersebut. Jika anda bermusuhan dengan sahabat anda bersiaplah untuk mengalah demi persahabatan kalian.

Berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi oleh naluri atau emosi merupakan satu cara menyelesaikan masalah yang paling berkesan.

DALAM KENANGAN…. ALLAHYARHAM LKPL/WT. 124960 ROSMAN B. ISMAIL

Gambar dan coretan ini adalah sumbangan Bro iwan padzil (iwan padzil@yahoo.com) ... apa bleh buat la skuad, bro iwan tak memperkenalkan dirinya so tak dapek la eden nak memperkenalkannya. Gambar dan coretan disiarkan sepertimana yang saya terima melalui emel dari bro iwan padzil.. (.) Buka ajuk (.)

Gambar ni.. adalah kenangan aku bersama pelatih Pln. 4 Asas PPH 90. Walaupun Allahyarham Rosman (lebih dikenali dengan nama ‘Bulat’ atau ‘Boboy’) telah meninggalkan kita, banyak kenangan yang tidak dapat aku lupakan.

Bulat : Dil.. wa… buat cam ni.. konon-konon wa bagi lu.. Smack-Down atau Finishing laa..

A- Chong : Ok juga tu Bulat … aku s/by air kalau-kalau lu yang pengsan pulak…aaaa..

Kukuoq : Takkan hangpa aje bergambaq….. aku pun nak tumpang jugak.

Zul : Kawe lohnie gaya ‘Rambo’, ada duo bedil. Mu dok respek? dulu di kapung kawe pegang cangkul je….

Tok Moh : Gasak hangpa laaa……

Padzil : Korang nak possing camnapun kau punya tau.. yang penting aku cuci gambar korang beli.. pitih masyuk… pitih masyuk… kayo pokcik..

AL-FATIHAH ….. Semoga Rohnya dicucuri rahmat & ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. KAU TETAP DALAM INGATAN…..

(.) Tutup ajuk=

p.s- tulis ikut stail semboyan sebagai tribute kepada allahyarham 124960 Rosman.....

Friday, June 26, 2009

L/Kpl 124118 Azlan Bin Sihat

Wokay skuad, hari ni Apa Khabar Skuad? ingin memaparkan personaliti seorang lagi teman skuad kita. Skuad adalah L/Kpl 124118 Azlan Bin Sihat.

Skuad dilahirkan pada 02/08/1969 di Pasir Putih, Kelantan Darul Naim dan dibesarkan di Muar, Johor. Skuad merupakan anak ke - 5 dari 6 orang adik beradik.

Skuad adalah merupakan anggota Platun 12, Kompeni 'C', PULAPAH dan semasa asas PPH beliau menganggotai pula Platun. Selesai mengikuti asas rekrut, skuad telah ditugaskan di Platun 5, Kompeni 'B', Bn 16 PPH Keningau. Skuad turut ditukarkan bersama lain-lain anggota Kompeni B, Bn 16 PPH Keningau ke Bn 7 PPH Sandakan dengan kemasukan batalion tersebut dalam Briged Sabah PPH,.

Pada bulan Disember 1993, skuad telah menyertai Cawangan Persenjataan, Bn 15 PGA Sandakan sehinggalah kini.

Skuad telah mendirikan rumahtangga dengan pasangannya Puan Azizah Bt. Latip yang merupakan sekampung dengannya pada 24/05/1992 dan dikurniakan dengan 4 orang cahayamata iaitu 3 lelaki dan 1 perempuan.


p.s - gu, bila mu kata nak belanja kawe nasi kerabu denge laksam tu? aaaaa... apa? mu nak belanja lontong dengan laksa Johor, sedap tuuu .... hahahaha... kawe acah jer gu...

Thursday, June 25, 2009

Suatu masa dahulu.....

Membaca c-box ari ni, saya tertarik pada coretan skuad kita Din Perlis mengenai pengalamannya hisap rokok guna kertas semboyan ngan daun teh masa ops… hahaha.. pengalaman tu sama ngan saya gak cumanyer saya dulu time operasi simpan puntung rokok lepas hisap dan bila stok rokok dah abis, proses balik puntung-puntung rokok tu ambik tembakau dier dan buat rokok baru.. memang gelihati bila ingat balik…


Tu belum cerita berebut ambik air teh lepas latihan kawad petang kat pusat latihan sampai ada tersiram air teh yang berasap tu kat tangan.. ada yang ‘cap’ terjatuh kat dalam bekas air teh tu tapi kutu–kutu buat tak faham jer minum air teh tu... berebut biskut mayat sampai hancur dan buat donno belasah jer makan... hancur pun hancur la... cerita beratur dan buat selaku terima gaji, hormat ke hadapan hormat time terima gaji... S. I Talib... dan berbagai kisah lagi...


Memang banyak pengalaman yang telah dilalui oleh teman-teman skuad dan kalau dicerita satu-satu memang pecah perut gelak sakan kita dibuatnyer… so tunggu masa reunion nanti, kita bukak cerita satu-satu…tu belum cerita masa kat PULASIOL, kat Ulu Kinta, kat Tupah… kat PULAPAH dan PULAPOL… pehh... banyak cerita tu… semua tu rasa-rasa macam baru jer berlaku… padahal dah hampir 20 tahun dah semua tu…


p.s – tak sabar nak jumpa balik kengkawan satu skuad!


gambar time muda-muda dulu... atas kapal Marin balik operasi Ops Tayang

Wednesday, June 24, 2009

kat maner?


Gambar nostalgia ini dikirimkan oleh teman skuad kita iaitu Sjn Fadzil. Gambar skuad bersama teman-teman skuad satu platun masa Kursus Asas PPH 1990. Berdiri sebelah Sjn Fadzil adalah Abdul Ghafur yang telah meletak jawatan pada pertengahan tahun 90-an kerana mendapat tawaran kerja di salah sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia. Musli (berdiri sebelah Ghafur) kini di Bn 16 PGA Kota Kinabalu dan Edward (duduk di sebelah kanan) di Kota Kinabalu International Airport (KKIA). Mohd Hafiz (duduk tengah) dan 2 orang teman skuad lagi tu tak tau nama dan ntah kat maner sekarang ni... lost contact! Ada sesiapa yang tau ker?

Tuesday, June 23, 2009

P/Kpl 124047 Mohd Rehan Bin Md Ali

Dilahirkan pada 10 Ogos 1966 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, skuad adalah merupakan anak ke-4 dari 5 orang adik beradik. Penyertaan skuad dalam PDRM bermula dengan menganggotai Platun 10 Kompeni 'C', PULAPAH. Skuad kemudiannya mengikuti Kursus Asas PPH di SLPPH Ulu Kinta dengan menganggotai Platun 12.

Sejurus tamat Kursus Asas PPH, skuad telah dipostingkan ke Kota Kinabalu, Sabah iaitu di Platun 4, Kompeni 'A', Bn 16 PPH dan kemudiannya Platun 1, Kompeni 'A' selepas pengecilan organisasi PPH.

Pada 08 Sept 2000, skuad mengikuti Kursus Amra Mate di Maktab Teknik PDRM di Bakri, Muar, Johor. Selesai mengikuti kursus, skuad ditugaskan di Cawangan Persenjataan, Bn 16 PGA Kota Kinabalu sehinggalah kini.

Skuad telah berumahtangga dan dikurniakan dengan 4 orang cahayamata (3 lelaki dan 1 perempuan). Aktiviti masa lapang skuad adalah memancing dan melancong. Skuad juga meminati sukan badminton dan aktif dalam sukan tersebut.

p.s - tahniah skuad kerana terlibat dalam pemangkuan pangkat Koperal!

Sunday, June 21, 2009

Hari Bapa



T
arikh Hari Bapa adalah pada hari Ahad ketiga bulan Jun pada setiap tahun. Ini bermakna tahun ini jatuh pada 21 Jun 2009. Macam biasa Hari Bapa kurang disambut berbanding hari ibu. Kadang-kadang kita lupa pun bila tarikh Hari Bapa ni... Sementelahan pula dengan adanya saranan dari pihak-pihak tertentu yang menyarankan kita untuk tidak menyambut hari bapa ataupun hari ibu ini. Walaupun begitu ada juga pihak yang menggabungkan sambutan kedua-dua hari ini dan mengingatkan bahawa ibubapa perlulah sentiasa diingati sepanjang tahun bukan terhad pada kedua-dua hari ni sahaja. Terpulanglah kepada semua untuk menimbangkannya...

Pelbagai panggilan kita berikan kepada insan yang sangat kita hormati ini : Ayah, abah, abi, bapak, apak, appa, dad, daddy.... Walau apa pun panggilan yang kita gunakan semuanya adalah sama. Ia merujuk kepada salah seorang insan yang telah banyak memberikan pengorbanan kepada kesejahteraan hidup kita kini. 'Kerana mu aku hidup dan kerana mu aku kenal dunia'.... Selamat Hari Bapa......

p.s : Selamat Hari Bapa juga ditujukan kepada semua skuad yang bergelar Bapa! Yang belum jadi bapa tu takleh sambut.. hahaha! Sori bro, gua main-main jer...kan ker kita semua ada bapa...

Al-Fatihah

Kepada semua teman skuad 1/90 marilah kita sedekahkan Al-Fatihah dan doa kepada Allahyarham Kpl 123863 A. Aziz B. Ibrahim (Dikenali di kalangan rakan-rakan dengan panggilan Aziz Cikgu). Allahyarham telah meninggal dunia di Hospital Kulim, Kedah pada 20/06/2009 lebih kurang jam 8.00 malam selepas 2 hari menjalani pembedahan kanser otak. Allahyarham di kebumikan di Kg. Ijok, Selama, Perak.


Allahyarham Aziz Cikgu pernah bertugas di PGA Semporna, Sabah dan penugasan terakhir Allahyarham adalah di Batalion 2 PGA Kulim, Kedah.


Setiap yang bernyawa tetap akan mati, begitulah juga manusia yang asal usulnya dijadikan daripada tanah, maka kepada tanahlah juga ianya akan dikembalikan. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Thaahaa ayat 55 tafsirnya :

“Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi”.

Sekadar gambar hiasan


p/s.. Terimakasih dengan infomation dari Teman Skuad 3932matdin...Selamat maju jaya.

Monday, June 15, 2009

Lkpl 125037 Roszalan Bin Abdul Majid

Assalamualaikum & apa khabar Skuad?..Pembuka bicara teman skuad yang berasal dari Kluang,Johor. Lkpl 125037 Roszalan Bin Abdul Majid dilahirkan pada 17/09/1969. Mula menjalani Latihan Asas Konstabel di Pulapol K/Lumpur dan ditempatkan dalam Platun 19,Komp ‘B’(Anak buah Kpl Shahari & Kpl Steven- sekarang dah jadi Pegawai Kanan..kata skuad kita ni)


Skuad menjalani latihan Asas PPH di Ulu Kinta,Perak selama 3 bulan dalam Platun 5. Platun Kmdr beliau adalah Insp Mohd Nor dan Sjn Pandak sebagai Platun Sjn. Seterusnya skuad mengikuti Kursus Asas Semboyan selama 6 bulan di SLUKK, Bakri,Muar,Johor.(Kursus sepanjang tahun skuad kita ni)


Pada bulan Mei 1991 skuad di tukarkan ke KOMBAS PPH Lahad Datu dalam Platun 1. Dengan penubuhan Briged Sabah pada tahun 1992 skuad ini telah ditukarkan ke Platun 4 Kompeni ‘B’ Batalion 7 PPH Sandakan. Kemudian Batalion 7 telah di tukar nama dengan Batlion 15 PGA Sandakan sehingga kini.


Skuad telah mendirikan rumahtangga dengan Pn.Mariana Binti Dullah.. (Org Twu).. pada 09.05.1998. Hingga kini skuad telah dikurniakan 3 orang anak...Semuanya Putera kata skuad...(Bila la nak cari Puteri tu skuad ). Memandangkan isteri skuad ni berasal dari Tawau dan bekerja di Hospital Tawau..Skuad telah memohon pertukaran ke Batalion 14 PGA Tawau. Pada 01/08/2000 Skuad telah melapor diri di Platun 3 Kompeni ‘A’ Batalion 14 PGA Tawau. Skuad kita ni dah masak dengan segala penugasan Platun, Operasi ( keluar / masuk pulau ni dah mainan..... kata skuad).Kini skuad telah di tempatkan dalam Bahagian Komunikasi Ibu Pejabat Batalion 14 PGA Tawau. ( Lega kata skuad...dah boleh tumpukan pada keluarga dan anak-anak)


Kata-kata akhir dari skuad....(tanpa edit)..

‘Semoga dilaman ini dapat kita semua mempereratkan talian persahabatan yang telah terpisah lantaran penugasan dan tanggungjawab masing-masing. Selama hampir 20 tahun ni, banyak juga kenangan...antaranya ada rakan kita yang telah tiada (Al-Fatihah), yang telah bertukar ke formasi baru ataupun yang telah meninggalkan jawatan dalam PDRM. Walau bagaimanapun, ucapan tahniah bagi skuad-skuad kita yang telah mendapat kenaikan pangkat samada di kalangan APR atau menjadi Pegawai Kanan. Semoga Allah melimpahi rezeki kepada skuad semua....Inilah serba ringkasnya dan salam ingatan buat semua...’


Platun 19 Kompeni 'B' - Latihan Asas Konstabel 1990

Gambar bersama teman skuad dan Jurulatih semasa
Kursus Asas Semboyan di SLUKK,Bakri,Muar Johor 1991


Tengok ler lagak-lagak macho Bro kita ni semasa Operasi
di Sahabat 38 L/Datu tahun 1991 (masih KOMBAS bah)

Bergambar bersama Kmdr Briged Sabah / Peg.Kanan
di Pos Pulau Selingan pada tahun 90'an


Masih segak bergaya skuad kita ni kan..

Bro Roszalan bersama teman skuad Tok Moh..


p/s..Terimakasih Bro Roszalan atas kerjasama memeriahkan laman blog 'Apa Khabar Skuad'
'Siapa Tok Moh?..akan di al-kisahkan kemudian..


Saturday, June 13, 2009

Kpl 123876 Mohd Azman Bin Saat @ Yusof

Skuad dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada tanggal 12 Jun 1969. Merupakan anak sulong daripada 7 orang adik beradik, karier skuad dalam PDRM bermula dengan menganggotai Platun 5, Kompeni 'B', PULAPAH. Skuad kemudiannya menganggotai Platun 8 semasa Kursus Asas PPH di SLPPH Ulu Kinta, Perak.

Skuad menjejakkan kaki ke bumi Sabah Di Bawah Bayu pada 22 November 1990 iaitu selepas tamat kursus asas PPH. Skuad telah ditempatkan di dalam Platun 14, Kompeni 'D', Bn 16 PPH. Dengan pengecilan organisasi PPH, skuad telah di tempatkan pula di dalam Platun Pertahanan Bn 16 PPH sebelum menyertai Pejabat Pentadbiran Ibu Pejabat Briged Sabah PPH selepas penubuhan Briged Sabah PPH pada tahun 1992. Pada tahun 2006, skuad menyertai Unit Khas Komputer Briged Sabah PGA dan pada tahun 2007, skuad telah diberi kepercayaan untuk memangku pangkat Koperal di Unit Khas Komputer Briged Sabah PGA sebelum disahkan kepangkat tersebut pada 01 Disember 2007.

Skuad mendirikan rumahtangga pada 24 Disember 1999 dengan pasangannya yang berasal dari Kota Belud, Sabah dan dikurniakan dengan 5 orang anak lelaki. Isteri skuad, Puan Nazeera Bt. Saad bertugas sebagai Kerani Kesetiausahaan N22 di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Skuad menggemari aktiviti memancing dan bermain badminton. Skuad juga adalah merupakan AJK Penaja Majlis Reunion Skuad 1/90.

p.s - Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun ke-40 skuad! Sori, lewat sehari....

gambar kek jer la...

khusyuk mendengar taklimat YDH Dato' Hj. Salleh bin Mat Rasid, Timb. Pengarah (PGA/Pengurusan Sempadan/Kawalan Keselamatan LTAB) semasa sesi dialog bersama peg/ang Briged Sabah PGA pada 12 Jun 2009 (hari jadi skuad).....

Friday, June 12, 2009

Hadiah Buat Teman

Hadiah Terbaik

Kepada kawan – Kesetiaan

Kepada musuh – Kemaafan

Kepada Ketua - Khidmat

Kepada yang muda – Contoh terbaik

Kepada yang tua – Hargai budi mereka dan kesetiaan

Kepada pasangan – Cinta dan ketaatan

Kepada manusia – Kebebasan





Buat Renungan Bersama

  • Mimpi tidak akan menjadi kenyataan jika kita asyik tidur
  • Orang yang bijak mempelajari banyak perkara daripada musuhnya sendiri
  • Terdapat banyak kemungkinan untuk gagal kerana kejayaan hanya boleh dicapai dengan satu perkara iaitu USAHA
  • Ketika ditimpa bencana,kita akan mengenali yang mana satu lawan & yang mana satu kawan
  • Pemimpin yang baik akan memikul kesalahan & tidak mengejar nama
  • Rumah tanpa buku umpama bilik tanpa tingkap
  • Kebocoran yang paling kecil masih boleh menenggelamkan kapal yang besar
  • Tiada hadiah yang lebih berharga daripada nasihat yang baik
  • Nyanyian ibu untuk menidurkan anaknya ketika kecil adalah yang paling merdu di dunia
  • Tanpa permulaan, anda tidak akan sampai kemana-mana
  • Berdoa dan meminta bukanlah perkara yang sama
  • Kegagalan adalah pemulaan kejayaan
  • Fikiran membawa kepada pekerjaan. Pekerjaan membawa kepada kejayaan. Kejayaan membawa kepada impian.


Sjn 124309 Abd Malek Bin Yusof

bergambar bersama hasil pancingannyer... fuyooo besau tuuu...

Kali ni, Apa Khabar Skuad? memaparkan gambar lama seorang lagi teman skuad kita iaitu Sjn 124309 Abd Malek Bin Yusof. Gambar yang skuad kirimkan ini adalah merupakan gambar masa skuad bertugas kat Bn 16 PPH Kota Kinabalu dulu... Skuad kini bertugas di Bn. 2 PGA Kulim, Kedah. sayang sekali, skuad tidak menghantar profil diri untuk dikongsi bersama dengan teman-teman skuad yang lain... bagaimanapun terima kasih diucapkan kepada skuad kerana memberi maklumbalas positif kepada laman blog skuad kita... Tq skuad!

Thursday, June 11, 2009

Sjn 124289 Abd Shukor Bin Abd Rahman

Semasa pergi minum bersama teman sepejabat pagi tadi, saya terserempak dengan 5 orang teman skuad sedang minum pagi kat 'port' biasa di Kepayan. Salah seorang teman skuad adalah Sarjan 124289 Abd Shukor Bin Abd Rahman dari Cawangan Trafik, Bukit Aman. Saya pun apa lagi, tak melepaskan peluang ini untuk menemuramah teman skuad untuk ruangan Personaliti Teman Skuad kali ini.

Skuad memaklumkan bahawa dia dilahirkan pada 21/03/1968 di Kg. Simpang 3, Pasir Merbuk, Kedah Darul Aman. Skuad merupakan anak bungsu dari 5 orang adik beradik.

Skuad menyatakan bahawa dia adalah merupakan anggota Platun 15, Kompeni 'D', PULAPAH. Selesai mengikuti asas rekrut, skuad mengikuti pula Kursus Asas PPH di Sekolah Latihan PPH Ulu Kinta, Perak dalam Platun 15 juga dan seterusnya ditugaskan di Platun 5, Kompeni 'B', Bn 16 PPH Keningau. Sejajar dengan penubuhan Briged Sabah PPH, skuad kemudiannya ditukarkan ke Platun 7, Kompeni ' C', Bn 15 PPH Sandakan.

Pada 1999, skuad telah memohon untuk bertukar balik ke Semenanjung di mana skuad telah ditugaskan dalam Cawangan UPP Chuping, Perlis. Pada tahun 2002, skuad telah bertukar ke Cawangan Trafik, Bukit Aman sehinggalah kini.

Skuad telah mendirikan rumahtangga dengan pasangannya Puan Fazilah Bt. Bakar yang merupakan sekampung dengannya pada 09/05/1993 dan dikurniakan dengan 4 orang cahayamata iaitu 3 lelaki dan 1 perempuan.

Menjawab pertanyaan Apa Khabar Skuad? mengenai pencapaiannya dalam kerjaya, skuad memaklumkan bahawa dia mendapat kenaikan pangkat Koperal pada tahun 1999 dan pangkat Sarjan pada 2007. Hobi skuad? Skuad kata hobi dia membaca.... waaaaaa... !!!!

gambar skuad kita...

Saturday, June 6, 2009

Hari Keputeraan SPB Yang DiPertuan Agong

SELAMAT HARI KEPUTERAAN
SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

D.K.T., D.K.R., D.M.N., S.S.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K. (Perlis), D.K.(Johor), D.K.M.B.(Brunei), D.K.(Perak), D.K.(Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur De La Legion D'Honneur (France).

DAULAT TUANKU!

Thursday, June 4, 2009

RF/124817 Zahari Bin Mohd Rais

Wokay skuad, kali ni saya paparkan personaliti seorang lagi teman skuad kita. Skuad pernah dikenali sebagai RF/124817 Zahari Bin Mohd Rais. Dilahirkan pada 18/05/1968 di Kupang, Kedah Darul Aman, skuad merupakan anak bongsu dari 3 orang adik beradik. Sebagai meneruskan tradisi keperwiraan dalam keluarganya di mana kedua-dua abangnya menyertai perkhidmatan tentera, skuad memilih untuk memasuki perkhidmatan PDRM dengan menganggotai Platun 11, Kompeni B, PULAPOL.


Seusai rekrut, skuad mengikuti pula Kursus Asas PPH di SLPPH Ulu Kinta, Perak dan seterusnya Kursus Asas Semboyan di SLUKK, Bakri, Muar selepas itu.


Skuad kemudiannya dipostingkan ke Kombas Lahad Datu. Selepas bertugas di Lahad Datu selama 2 ½ tahun, skuad kemudiannya ditukarkan ke Bn 7 PPH Sandakan. Pada 24/07/1995, skuad mengambil keputusan untuk bertukar profesion dengan menyertai Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia sehinggalah kini.

Skuad melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Puan Norlilawati Bte Alias, berasal dari Muar, Johor pada tahun 1995 dan dikurniakan dengan seorang anak lelaki. Semasa dalam PDRM, skuad sempat mendapat kenaikan pangkat L/Kpl tetapi cuma 3 bulan jer kerana selepas itu skuad telah menyertai JPJ.


Semasa dalam PDRM, skuad seorang yang aktif dalam sukan sepaktakraw di mana skuad bermain dalam posisi ‘killer’. Skuad juga pernah beberapa kali mewakili Briged Sabah PPH ke KPN Cup di mana kali yang terakhir adalah pada 1994.


Menceritakan pengalaman semasa dalam PPH, skuad menyatakan : ‘... banyak pengalaman pahit manis semasa gua bertugas di Sabah dulu beb...keluar masuk operasi Ops Tayang di Lahad Datu, Felda Sahabat 16, 17, Tg.Labian, Tungku...banyak lagi la....gua bertugas dalam Cawangan Semboyan, dalam 2 ½ tahun je kat Lahad Datu, pastu tukar ke Sandakan,..kat Sandakan pun sama la kuar masuk Ops je di kawasan perairan Sandakan.....’


Menceritakan mengenai pertukaran profesion dari PDRM ke JPJ, skuad berkata ‘...hampir 2 tahun gua bertugas kat Sandakan, pastu gua dapat peluang mohon kerjaya di JPJ..terus gua mohon... tak lama lepas tu gua dapat panggilan temuduga jawatan tersebut di KL...nak tak nak gua terpaksa balik interview di KL dengan tambang flight duit sendiri.. 1k lebih gak..lepas interview gua balik semula bertugas Ops di Tambisan...dalam masa 2 bulan kot ..selepas balik Ops, masa gua bertugas di pejabat semboyan.. gua dapat panggilan dari SPA kerana permohonan gua ke JPJ berjaya. Pada 20.07.1995... gua ambik keputusan lepaskan jawatan dalam PDRM untuk menjawat jawatan di JPJ... seterusnya menjalani latihan asas JPJ di Rompin, Pahang pada masa tu.. lebih kurang 1 ½ bulan je....abis latihan gua bertukar ke JPJ Johor hingga bulan Mac 2004...pastu gua bertukar ke JPJ Penang...dalam 2 tahun kot kat sana (tu yg kenal dengan Sjn 124132 Abdullah..sama-sama tugas dengan MKJR ..Shell Games dan berapa orang skuad lagi yang gua jumpa....bulan 12, 2006.. gua bertukar balik ke JPJ Johor setelah mendapat kenaikan pangkat kanan..tu lah serba sedikit journey hidup gua selama ni dalam 2 kerjaya yang berbeza....’


Mengakhiri ceritanya, skuad berkata : ‘....gua bangga menjadi anggota polis kerana telah mendidik gua asas disiplin yang mana gua masih amalkan hingga sekarang..cuma gua dapat peluang berubah kerjaya yang lebih baik di JPJ.... banyak lagi peluang-peluang yang lebih baik untuk kita merubah kehidupan dan kerjaya.untuk peningkatan diri dan masa depan keluarga...’


Wokaylah skuad, semoga skuad berjaya dalam hidup dan kerjaya yang baru...Apa Khabar Skuad? mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad. Walaupun berbeza kerjaya, semoga persahabatan di antara skuad kita akan berterusan sehingga ke akhir hayat! TQ Skuad!


p.s : lepas ni nak temuramah Awang kat Lembaga Koko lak...

gambar skuad dengan uniform JPJ


gambar skuad dengan kereta kesayangannyer...

Tuesday, June 2, 2009

Ringkasan Minit Mesyuarat Bil. 2/2009

Berikut adalah ringkasan minit mesyuarat yang telah diolah dari Minit Mesyuarat Majlis Reunion Skuad 1/90 Bil. 2/2009 yang telah dicatat oleh Kpl Yussaini selaku Setiausaha Majlis Reunion. Mesyuarat telah diadakan dengan ketetapan seperti berikut :


Tarikh : 16 hb Mei 2009

Masa : 0930 hrs

Tempat : Bilik Mesyuarat Batalion 16 PGA Kota Kinabalu.


Seramai 17 orang teman skuad telah hadir dalam mesyuarat tersebut yang telah dipengerusikan oleh SM Muhd Rizal Bin Kamarulzaman, Pengerusi AJK Penaja Majlis Reunion Skuad 1/90.

Perkara dan cadangan-cadangan yang telah dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat adalah seperti berikut :


1. Keahlian

Berhubung dengan permohonan anggota dari skuad 2/90 yang ingin turut serta dalam majlis REUNION ini, Pengerusi menyatakan bahawa permohonan tidak dapat diluluskan kerana Majlis Reunion yang akan diadakan adalah eksklusif kepada anggota skuad 1/ 90. Ia juga telah diputuskan dan telah dipersetujui oleh semua yang hadir dalam mesyuarat Bil. 1/2009.


2. Borang Penyertaan

Kpl Norsham selaku Bendahari memaklumkan Borang Penyertaan hendaklah diisi oleh semua teman skuad yang ingin ikut serta majlis REUNION. Ini kerana ianya penting bagi tujuan rekod.


3. Tarikh Majlis

Sjn Ramli mencadangkan supaya tarikh bagi Majlis Reunion diadakan pada 30/01/2010 (Sabtu). Cadangan telah dipersetujui oleh semua ahli yang hadir.


4. Venue Majlis

Berhubung dengan venue Majlis Reunion, Pengerusi meminta supaya Sjn Mazlan dan Kpl Abdullah mendapatkan sebutharga bagi tempat – tempat yang sesuai dan mengemukakan sebutharga yang diperoleh dalam mesyuarat yang akan datang.


5. Lain-lain Acara

Kpl Abdullah mencadangkan supaya diadakan majlis Tahlil dan Doa Selamat bagi memperingati genap 20 tahun perkhidmatan. Adalah dicadangkan supaya majlis tersebut diadakan pada 07/01/2010 nanti (Khamis). Cadangan telah dipersetujui oleh semua yang hadir dan Pengerusi memutuskan supaya perkara tersebut dibawa dalam mesyuarat yang akan datang.


6. Laporan Bendahari

Kpl Norsham selaku Bendahari Majlis Reunion memaklumkan bahawa seramai 25 orang ahli telahpun mendaftar dan membuat pembayaran untuk yuran bagi bulan April, Mei dan Jun. Jumlah kutipan yuran sehingga kini (16/05/2009) adalah berjumlah RM 890.00 dengan pecahan seperti berikut :

Bulan April (yuran keahlian dan yuran majlis) – RM 750.00 ( 25 orang)

Bulan Mei – RM 120.00 (6 orang)

Bulan Jun – RM 20.00 (1 orang)

Resit pembayaran telahpun diedarkan kepada semua yang berkenaan.


7. Penajaan

Berhubung dengan penajaan, Pengerusi memaklumkan bahawa perkara tersebut adalah dialu-alukan dan Penaja akan dijemput sebagai tetamu khas dalam majlis REUNION nanti.


8. Baju – T / Kemeja

Pengerusi mencadangkan baju – T atau kemeja dibuat khas bagi Majlis REUNION. Bagaimanapun pembelian tidak diwajibkan.


9. Penangguhan Mesyuarat

Sebelum menangguhkan mesyuarat, Pengerusi mengingatkan semua yang hadir bahawa tujuan asal majlis REUNION ini diadakan adalah bagi mengeratkan silaturahim sesama ahli skuad 1/90. Oleh yang demikian, semua yang hadir seharusnya fokus dan berfikiran positif dalam usaha untuk menjayakan majlis yang dirancang dan melupakan hal-hal lain yang boleh membantutkan usaha murni ini.

Pengerusi juga berharap supaya majlis reunion ini dimaklumkan kepada teman skuad 1/90 yang lain.

Mesyuarat kemudiannya ditangguhkan pada 1145 hrs.

New Moderator


Ok, Bro... untuk makluman semua, saya telah melantik Bro T-din sebagai Moderator Apa Khabar Skuad! Lantikan ini berkuatkuasa pada 01 Jun 2009 dan tertakluk kepada terma dan syarat yang telah saya tetapkan. Bro T-din akan membantu saya dalam mengemaskini blog ini dari masa ke semasa. Harap skuad semua memberikan kerjasama padu kepada Bro T-din. Tq!