Friday, November 25, 2011

Awal Muharram


Assalamualaikum skuad! Esok kita akan menyambut Maal Hijrah. Sepertimana yang kita ketahui, Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan permulaan tahun baru mengikut Takwim Islam. Ianya bermula sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah dalam tahun 622 masihi. Selain itu, Maal Hijrah juga merujuk kepada peralihan daripada sesuatu yang negatif (buruk) atau kurang baik kepada yang lebih baik atau sempurna.


Hijrah bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam malah ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, melaksanakan tugas yang diamanahkan dan seribu satu sebab untuk berhijrah adalah merupakan tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.


Kebiasaannya apabila tiba sahaja tahun baru masihi, kita sering memperbaharui azam masing-masing. Apa kata kali ini azam yang sama kita tekadkan lagi semasa ketibaan tahun baru hijrah ini. Malah jika kita tidak pernah langsung berazam sebelum ini pada tahun baru hijrah, maka apa kata kita memulakannya sekarang. Jadikan motto hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari seterusnya lebih baik dari hari-hari sebelumnya sebagai pegangan dan panduan arah hidup kita.


Di samping itu sempena Maal Hijrah tahun ini marilah perkuatkan juga aqidah, syariat dan akhlak kita. Apabila kefahaman menjadi jelas maka iman dan takwa juga akan semakin kukuh. Lebih rapat kita dengan Tuhan Yang Maha Esa maka akan lebih tenang jiwa kita menghadapi kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini.


Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1433!

No comments:

Post a Comment