Wednesday, December 16, 2009

Maal Hijrah 1431

Hijrah dalam pengertian etimologis bererti “pindah ke satu tempat atau negeri yang lain dari negeri asal,” iaitu berpindah tempat atau negeri kerana sesuatu sebab yang tertentu.


Hijrah yang sering dimaksudkan ketika umat Islam membicarakan hijrah dalam konteks tahun baru Hijrah ialah peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari Makkah ke Madinah. Tarikh berlakunya Hijrah Nabi Muhammad SAW ini merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam, kerana mulai dari peristiwa ini, Islam telah melangkah lebih jauh dalam sejarah perkembangannya, dan mulai memasuki satu tahap baru dalam perjuangan baginda sendiri.


Menurut sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW memulakan perjalanan dalam hijrah baginda pada malam Khamis (16 Jun 622 M) dan sampai di Madinah sebelum waktu Zohor, hari Isnin (28 Jun 622 M).


Dalam konteks yang lebih umum, selain daripada makna khusus seperti yang disebutkan di atas,hijrah mengandungi dua pengertian, iaitu :


1. Hijrah yang berkaitan dengan aktiviti fizikal atau jasad, iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, dan hal ini dapat disebut sebagai hijrah lahiriyah.


2. Hijrah dalam pengertian berpindah daripada sesuatu yang dilarang Allah SWT kepada sesuatu yang dibenarkan-Nya, dan hal ini dapat disebutkan sebagai hijrah maknawiah, iaitu penghijrahan jiwa, sikap dan rohani.


Umat Islam sering mengambil iktibar tentang pengertian umum ini ketika membicarakan tentang hijrah pada masa kini. Pengajaran yang seharusnya diambil daripada falsafah hijrah ini ialah penghijrahan sikap, iman, akhlak dan sebagainya yang dapat mengubah individu daripada keadaan yang lemah kepada keadaan yang lebih kuat, daripada amalan mungkar kepada amalan makruf, daripada ketinggalan dalam segala pembangunan ilmu, ekonomi, maruah dan sebagainya, menjadi insan yang berketerampilan, berilmu, maju dalam bidang ekonomi, teknologi dan tinggi dalam segala bidang kehidupan dunia dan akhirat, serta kuat dalam amalan kerohanian, ibadat khusus dan ibadat umum.



Esok, umat Islam akan menyambut Maal Hijrah 1431 dan sempena sambutan tersebut adalah disarankan kepada semua teman skuad yang berugama Islam untuk berdoa dengan doa berikut:-


Doa Akhir Tahun (Dibaca 3 kali pada akhir Fardhu Asar atau sebelum solat Fardhu Maghrib 1 Muharram)


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Allah SWT berselawat ke atas junjungan kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.


Ya Allah Wahai Tuhan Kami, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini terhadap hal-hal yang Engkau larang aku untuk melakukannya dan aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat atas kelalianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian atas apa yang Engkau ridhai dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepada-Mu.


Ya Allah Wahai Tuhan Kami, Wahai yang Maha Pemurah, Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepada-Mu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas junjungan kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Doa Awal Tahun (Dibaca 3 kali sesudah solat Fardhu Maghrib 1 Muharram)


Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Allah SWT berselawat ke atas junjungan kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.


Ya Allah Wahai Tuhan Kami, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. Yang awal dan atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang berlimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan para pembantunya dan dari bala tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.


p.s - Semoga segala usaha dan doa kita akan diberkati, diperkenan dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin!


renung - renungkan dan muhasabahkan diri....

No comments:

Post a Comment